Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Lebih Tinggi Minggu Depan, Lepasi Paras 1,770
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan, melepasi paras 1,770 yang didorong penyertaan pelabur yang lebih aktif menjelang musim pelaporan prestasi kewangan syarikat.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata prestasi kewangan syarikat yang akan diumumkan dijangka menjadi penanda aras penting terhadap daya tahan pendapatan pada peringkat indeks dan mengukuhkan lagi kedudukan sektor perbankan sebagai segmen paling mantap dari segi struktur menjelang separuh pertama 2026.
“Pada asasnya, sektor perbankan Malaysia terus menerima manfaat daripada persekitaran makro- kewangan yang menyokong.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 6.3 peratus pada suku keempat 2025 manakala inflasi kekal sederhana, menawarkan persekitaran ekonomi yang stabil untuk pengantaraan kredit,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata perhatian pelabur akan beralih kepada pengumuman mengenai data keyakinan pengguna Amerika Syarikat pada Selasa.
“Di dalam negara, tiada data ekonomi utama dijadual dikeluarkan pada minggu ini sekali gus mengekalkan tumpuan pasaran terhadap pendapatan korporat dan perkembangan luaran,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran dijangka terus diniagakan mendatar dan pada masa sama menyerap kenaikan sebelum ini.
Beliau berkata aktiviti pengambilan untung dalam saham mewah utama dijangka berterusan dalam masa terdekat.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 13.29 mata kepada 1,752.83 daripada 1,739.54 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 103.08 mata kepada 12,667.89 dan Indeks FBM Emas menokok 108.58 mata kepada 12,846.78.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 176.03 mata kepada 17,745.70, Indeks FBM Emas Shariah menambah 146.28 mata kepada 12,368.29 dan Indeks FBM ACE meningkat 81.07 mata kepada 4,822.12.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 91.79 mata kepada 21,615.67, Indeks Tenaga meningkat 24.78 mata kepada 775.88, Indeks Perladangan menokok 43.05 mata kepada 8,419.98 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.98 mata kepada 178.06.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.88 bilion unit bernilai RM6.53 bilion daripada 12.87 bilion unit bernilai RM13.70 bilion minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.76 bilion unit bernilai RM6.09 bilion daripada 7.12 bilion unit bernilai RM12.5 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.38 bilion unit bernilai RM165.97 juta daripada 3.46 bilion unit bernilai RM394.01 juta minggu lepas.
Sementara itu, jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 735.33 juta unit bernilai RM274.35 juta daripada 2.28 bilion unit bernilai RM803.8 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA