BERITA TERKINI   Semua agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri digerakkan bagi segerakan operasi penyelamatan dan bantuan banjir di Sabah - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Dengan Kecenderungan Positif Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan positif minggu depan.

RHB Investment Bank Bhd sehubungan itu mengesyorkan para peniaga membeli emas pada harga US$5,098.50 setiap auns troy dan mengekalkan posisi berkenaan.

Sementara itu, bagi menguruskan risiko penurunan, tahap henti-rugi (stop-loss) awal ditetapkan pada US$4,800 setiap auns troy bagi mengehadkan potensi kerugian sekiranya harga emas susut.

"Paras sokongan pertama pada US$4,800 setiap auns troy, diikuti sokongan seterusnya pada US$4,550 setiap auns troy. Sementara itu, paras rintangan segera pada US$5,500 setiap auns troy, diikuti paras rintangan lebih tinggi pada US$5,700 setiap auns troy,” katanya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.

Bagi asas minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Februari 2026 meningkat kepada US$5,046.30 setiap auns troy daripada US$4,977.30 setiap auns troy, Mac 2026 naik kepada US$5,063.30 setiap auns troy daripada US$4,994.30 setiap auns troy.

Kontrak April dan Mei 2026 menokok kepada US$5,081.10 setiap auns troy daripada US$5,011.90 setiap auns troy sebelum ini, manakala Jun dan Ogos 2026 juga ditutup tinggi kepada US$5,115.0 setiap auns troy daripada US$5,045.80 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 26 lot daripada 41 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 98 kontrak daripada 484 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$5,004.80 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 19 Februari, 2026.

-- BERNAMA