Mudim Zakaria Food Industries Labur RM10 Juta Tingkat Kapasiti Pengeluaran
PENDANG, 6 Feb (Bernama) -- Syarikat makanan, Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd melabur sebanyak RM10 juta bagi pembelian mesin berteknologi baharu sebagai usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menjamin kualiti produk keluarannya.
Pengurus Pemasaran dan Jenama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu Mohd Izzad Al Syafiq Abdul Karim berkata mesin pengeluaran baharu berkenaan berkeupayaan menghasilkan sehingga 12 juta unit produk setahun, berbanding kira-kira tujuh juta unit pada masa ini.
Beliau berkata sebelum ini pengeluaran syarikat bergantung sepenuhnya kepada mesin lama yang telah digunakan lebih sedekad dan tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan pasaran.
“Pada tahun lepas, kami menghasilkan sekitar 7.2 juta unit produk menggunakan mesin sedia ada, sedangkan kapasiti optimum mesin tersebut hanyalah kira-kira empat juta unit setahun, sekali gus menyebabkan penggunaannya melebihi had,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, penggunaan mesin yang beroperasi melebihi kapasiti telah menimbulkan beberapa isu berkaitan kualiti produk, khususnya bagi kicap dan sos cili, sehingga memaksa syarikat menarik balik sejumlah produk daripada pasaran.
Sehubungan itu, Mohd Izzad berkata mesin pengeluaran baharu yang kini berada dalam fasa percubaan dijangka dapat menstabilkan kualiti produk, selain meningkatkan kecekapan operasi pengeluaran syarikat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata syarikat sedang giat melaksanakan langkah pemulihan kualiti produk susulan aduan daripada pengedar dan pengguna sejak tahun lalu.
“Kami telah memperketatkan prosedur kawalan kualiti serta menjalankan siasatan menyeluruh terhadap setiap isu yang dibangkitkan, termasuk mengambil tindakan drastik di bahagian mekanikal dan teknikal dalam proses pengeluaran,” katanya.
Menyentuh mengenai status pensijilan halal, Mohd Izzad menjelaskan sijil halal syarikat itu sebelum ini melalui proses semakan semula selaras dengan pelaksanaan polisi baharu pihak berkuasa berkaitan, dan telah dikembalikan pada 15 Dis tahun lalu.
Beliau menegaskan proses tersebut tidak melibatkan isu penggunaan bahan terlarang atau kebersihan produk.
Mudim Zakaria Food Industries yang beroperasi di Kampung Jelutong, di sini, kini mengeluarkan 20 jenis produk makanan termasuk kicap, sos cili, cuka, sardin dan serbuk masakan, serta mempunyai rangkaian kira-kira 2,000 pengedar di seluruh negara.
-- BERNAMA