BERITA TERKINI   JKDM perlu terus perbaiki keupayaan dan integriti pastikan kedudukan negara kekal kukuh, capai kutipan hasil lebih memberangsangkan -- PM Anwar | 

Pulau Pinang Belum Putuskan PIFC - Chow

GEORGE TOWN, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang masih belum membuat sebarang keputusan bagi penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang (PIFC) termasuk penentuan zonnya, namun perbincangan di peringkat tertinggi bersama pihak kawal selia masih diteruskan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) bertujuan memastikan cadangan itu bersifat inovatif, mematuhi undang-undang, berintegriti tinggi serta sejajar dengan Pelan Induk Sektor Kewangan negara.

Beliau berkata usaha itu juga penting bagi mengelakkan sebarang pertindihan dengan rantaian sedia ada dalam sektor kewangan Malaysia.

“Langkah menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kewangan adalah aspirasi jangka masa panjang untuk memperkukuh asas ekonomi negeri dalam kerangka lebih besar, iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab inovasi teknologi serantau yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

“Walaupun pada masa ini kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan rangka kerja menyeluruh bagi inisiatif ini, kerajaan negeri melalui badan pemikir Penang Institute kekal komited untuk menyediakan asas yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Chow berkata sesi libat urus bersama peserta industri berpotensi diteruskan secara berfasa bagi membina keyakinan pasaran serta meneliti keperluan sebenar industri.

Beliau berkata Pulau Pinang memiliki kelebihan unik menerusi ekosistem perindustrian dan pembuatan berteknologi tinggi yang telah lama terbina.

“Justeru, Pulau Pinang akan memfokuskan kepada segmen kewangan khusus seperti aset digital, teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan berkaitan pembuatan, termasuk pembiayaan rantaian bekalan, perdagangan, pengurusan risiko serta inovasi industri dalam hala tuju penubuhan PIFC,” katanya.

-- BERNAMA