Ekonomi Sedang Pesat Membangun Perlu Sokong Pakatan Baharu, Tidak Ikut Telunjuk Kuasa Besar - Anwar
KUALA LUMPUR, 7 Januari (Bernama) – Ekonomi sedang pesat membangun perlu menyedari bahawa masa depan mereka tidak semestinya mengikut telunjuk kuasa besar, tetapi sebaliknya keupayaan mereka sendiri untuk menjalin pakatan ekonomi baharu yang saling memberi manfaat.
Justeru, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka harus menyokong pakatan baharu seperti BRICS dan rangkaian Dunia Ketiga seperti ASEAN atau malahan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mendukung perdagangan bebas dan adil selaras dengan orde antarabangsa berasaskan peraturan.
“Sebagai kuasa pertengahan, ekonomi sedang pesat membangun perlu meluaskan skop mereka dan membina potensi mereka.
"Ini bukan masanya untuk saling menyendiri tetapi bekerjasama termasuk rakyat Malaysia dan Turkiye," kata Anwar pada Syarahan umum mengenai Peralihan Kuasa: Pilihan Strategik bagi Malaysia dan Turkiye, di Ankara, hari ini, sempena lawatan rasmi beliau ke Turkiye bermula Selasa.
Perdana Menteri berkata ekonomi sedang pesat membangun tidak seharusnya membuang masa tanpa melakukan apa-apa atau mengeluh dengan kegagalan negara-negara utama yang tidak konsisten dalam menyokong order antarabangsa berasaskan peraturan.
Beliau mengetengahkan potensi besar Asia Tenggara untuk bekerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan semua bidang berkaitan, serta terbuka kepada pasaran baharu.
Menyedari persaingan ekonomi dan kuasa besar yang sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China, beliau berkata, “kita (Asia Tenggara dan Asia) cukup realistik untuk menanganinya dengan bijak, menyedari sepenuhnya bahawa walaupun AS kekal sebagai pemain nombor satu kita dari segi pelaburan dan perdagangan, China menjadi jiran yang sangat penting.”
“Jadi, kita mesti terus mengekalkan hubungan yang sangat baik dengan jiran kita yang sedang berkembang pesat dari segi ekonomi dan ketenteraan,” kata beliau.
Melangkah kehadapan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia sedang melaksanakan rangka kerja ekonomi moden yang menggabungkan teknologi baharu dan menjadi peneraju pusat data semikonduktor dalam kecerdasan buatan (AI) di rantau kami.
-- BERNAMA