Agenda sokong Pertumbuhan PM Anwar Bantu Tangani Kelemahan Tadbir Urus - CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd mengekalkan pandangan positifnya terhadap FTSE Bursa Malaysia KLCI bagi 2026, dengan sasaran akhir tahun sebanyak 1,772 mata susulan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggariskan agenda dipacu pembaharuan dan menyokong pertumbuhan.
Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini, langkah-langkah utama yang dicadangkan oleh Anwar seperti pembentangan empat rang undang-undang pembaharuan institusi yang dijangka pada sidang Parlimen bulan ini, akan membantu menangani kelemahan tadbir urus dan menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan.
Selain itu, langkah-langkah pelepasan cukai dan kelonggaran pematuhan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan dijangka dapat membantu mengurangkan kos operasi.
“Misalnya, cukai perkhidmatan ke atas sewaan dikurangkan kepada enam peratus daripada lapan peratus untuk PKS adalah positif untuk amanah pelaburan hartanah berikutan langkah itu mengurangkan beban cukai efektif ke atas pendapatan sewa.
“Sementara itu, bantuan kos sara hidup bersasar secara berterusan akan menyokong perbelanjaan pengguna manakala kemungkinan untuk melonggarkan syarat import bagi bahan binaan untuk membendung kos adalah negatif bagi pengeluar bahan binaan tetapi positif bagi syarikat pembinaan berdasarkan potensi sokongan margin,” katanya.
Bantuan bersasar ini termasuklah pembayaran secara berperingkat program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pembayaran SARA RM100 secara sekali bayar yang kedua kepada semua rakyat Malaysia pada 9 Februari dan program Jualan Rahmah MADANI yang diperluas.
-- BERNAMA