BERITA TERKINI   Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir di Beaufort ditutup 4 petang ini - JPBN | Inisiden letupan kompresor di sebuah universiti swasta, mangsa terlibat meningkat 10 orang termasuk seorang maut- Ketua Polis KL | Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara - Ketua Polis KL | Rapid Bus akan terima 250 bas elektrik termasuk 75 Rapid Penang dijangka tiba Mac ini - Loke | Bomba sahkan letupan akibat kebocoran gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, dua kakitangan cedera. | 

Johor Tumpu Usaha Perkukuh Komitmen Jangka Panjang ByteDance -- Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 5 Jan (Bernama) -- Johor terus menumpukan usaha bagi memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat teknologi global, ByteDance di negeri itu selaras dengan pelaburan pusat data berskala besar syarikat berkenaan yang berasaskan kecederasan buatan (AI) di Malaysia yang melebihi RM29.5 bilion. 

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini melibatkan usaha seperti menerusi pertemuan dengan ByteDance yang juga syarikat induk TikTok, Douyin dan CapCut itu di China pada 23 Disember 2025.

“Menerusi perbincangan ini, saya menegaskan pendirian bahawa Johor bukan sekadar destinasi infrastruktur, sebaliknya rakan strategik digital yang mampu menyokong operasi berskala besar secara selamat, mampan dan berdaya tahan untuk jangka panjang," katanya menerusi catatan di laman Facebook. 

Sebelum ini, TikTok melalui ByteDance System telah membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai di sini.

Onn Hafiz berkata dengan kedudukan strategik di ASEAN, kos operasi yang kompetitif serta akses langsung ke pasaran serantau, Johor berpotensi menyokong pertumbuhan berterusan ByteDance di Asia Tenggara termasuk keperluan pusat data berprestasi tinggi, operasi sokongan platform dan pembangunan bakat digital.

Beliau berkata pertemuan itu juga antara lainnya bertujuan meneroka potensi kerjasama fasa seterusnya melangkaui infrastruktur kepada operasi serantau, AI dan pembangunan ekosistem kandungan digital.

“Ini sekali gus membuka laluan baharu kerjasama strategik yang menempatkan Johor sebagai hab digital serantau yang selamat, mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA