BERITA TERKINI   Peralihan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID kepada satu sistem tunggal di pintu masuk negara dijangka bermula tahun ini – Saifuddin Nasution | Kes libatkan pegawai tertinggi ATM: MINDEF tidak akan lindungi sesiapa, beri kerjasama penuh pastikan siasatan bebas, telus - Mohamed Khaled | Semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 secara kolektif dan sukarela letak jawatan serta-merta hari ini - FAM | Usaha kembalikan wibawa, kepercayaan bangsa dan negara terhadap ATM jadi keutamaan terpenting Kerajaan MADANI - Mohamed Khaled  | MINDEF laksana pembaharuan tatacara dan tatakelola menerusi lima langkah utama bagi tutup ruang rasuah, salah guna kuasa - Mohamed Khaled | 

Pasaran Getah Ditutup Tidak Berubah Susulan Petunjuk Bercampur-campur Pasaran Serantau

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup tidak berubah hari ini di tengah-tengah petunjuk bercampur-campur di pasaran niaga hadapan getah serantau dan juga kenaikan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran bertambah baik susulan pengumuman data ekonomi China yang lebih kukuh seterusnya mengurangkan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China serta keyakinan tinggi bahawa AS akan menurunkan kadar faedahnya. 

“Harga minyak meningkat pada Isnin apabila para peniaga menyambut baik kemajuan rundingan perdagangan AS-China. Kebimbangan yang berkurangan terhadap lebihan bekalan terutamanya disebabkan sekatan tambahan ke atas Rusia, terus memberikan sokongan terhadap harga.

“Pada hujung minggu Washington dan Beijing menyatakan bahawa mereka telah bersetuju dengan rangka kerja perjanjian perdagangan yang dijangka dicapai apabila Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping bertemu di Korea Selatan lewat minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 7.50 sen kepada 744.0 sekilogram (kg), manakala lateks pukal turun setengah sen kepada 568.50 sekilogram.

-- BERNAMA