Malaysia Boleh Mula Bangunkan Tenaga Nuklear Guna Unit Terapung -- Rosatom
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Malaysia boleh memulakan pembangunan tenaga nuklearnya dengan menggunakan unit tenaga terapung (FPU) sebagai langkah awal ke arah mewujudkan kapasiti nuklear menjelang 2031, kata Pengarah Projek Rosatom Energy Alexander Tsibulya.
Beliau berkata unit yang boleh ditempatkan di sepanjang pesisiran pantai Semenanjung dan Malaysia Timur, menjadi pilihan paling praktikal serta bersesuaian untuk negara ini yang berhasrat melaksanakan tenaga nuklear dalam dekad akan datang.
“Kerajaan Malaysia telah menyatakan menjelang 2031, sekurang-kurangnya beberapa kapasiti kecil akan ada..kapasiti tenaga nuklear akan ada di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab pada acara Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 di sini, hari ini.
Beliau merupakan ahli panel bagi sesi “Nuclear Power for Low-Carbon Development: From Floating Solutions to Large-Scale Domestic Nuclear Industry” (Tenaga Nuklear Bagi Pembangunan Berkarbon Rendah : Daripada Penyelesaian Terapung Kepada Industri Nuklear Domestik Berskala Besar).”
Malaysia telah menyasarkan untuk menjadikan tenaga nuklear sebahagian daripada campuran penjanaan tenaga negara ini menjelang 2031.
Program pembangunan tenaga nuklear ini akan dilaksanakan dengan MyPower Corp berperanan sebagai badan penyelaras untuk memantau tadbir urus kemudahan itu yang juga selaras dengan ketetapan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), demikian menurut Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada Julai 2025.
Menjelaskan selanjutnya, Tsibulya berkata FPU itu sesuai untuk negara-negara pesisir seperti Malaysia, termasuk boleh ditempatkan di luar pesisir atau berhampiran infrastruktur pelabuhan sedia ada, sekali gus menawarkan penyelesaian fleksibel serta selamat untuk kepelbagaian sumber tenaga.
Pada masa sama, katanya, penggunaan FPU dapat membantu Malaysia menangani pelbagai permintaan tenaga mengikut wilayah, terutama antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
“Di sebelah barat Malaysia iaitu Semenanjung, kapasiti nuklear berskala besar iaitu sekurang-kurangnya dua unit berkapasiti 1,200 megawatt, dapat dijadikan sebahagian daripada sistem tenaga,” katanya.
Tsibulya juga menjangkakan permintaan tenaga di Semenanjung Malaysia meningkat secara ketara berikutan kepesatan perindustrian serta pertambahan pusat data yang memacu penggunaan tenaga elektrik.
Di Malaysia Timur dengan grid lebih kecil dan sebahagian besar kawasan berhampiran dengan laut, FPU itu dilihat sebagai pilihan lebih mudah dan sesuai walaupun berkemungkinan memerlukan pembinaan kemudahan kecil di daratan.
Sementara itu, Pusat Tenaga ASEAN dan Rosatom memeterai memorandum persefahaman untuk menggalakkan kerjasama antara kedua-dua pihak bagi penggunaan tenaga nuklear secara aman, termasuk meningkatkan kesedaran awam mengenai teknologi nuklear dan penggunaannya selain membangunkan aspek saintifik dan modal insan.
Dalam kenyataannya, Rosatom berkata memorandum itu turut menekankan penambahbaikan infrastruktur serta menjalankan penyelidikan bagi menilai sumbangan tenaga nuklear terhadap masa depan campuran tenaga negara-negara ASEAN.
Memorandum itu menetapkan komitmen pihak-pihak terbabit untuk mengukuhkan kerjasama dalam industri di Asia Tenggara.
Perjanjian itu dimeterai oleh Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga ASEAN Datuk Razib Dawood dan Ketua Pengarah Rosatom International Network Vadim Titov.
-- BERNAMA