BERITA TERKINI   GSF 2.0: Kesemua 29 rakyat Malaysia dijangka tiba di tanah air pada Ahad - Wisma Putra   | Pengguna media sosial perlu sahkan umur guna dokumen rasmi mulai 1 Jun, pastikan kanak-kanak bawah 16 tahun tidak bebas buka akaun - Teo Nie Ching | Lebih 11,000 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan, melibatkan 1.8 juta peserta setakat 30 April - Teo Nie Ching | 

Kontrak Trojena Eversendai Di Arab Saudi Ditamatkan, Usaha Tuntut Pampasan

KUALA LUMPUR, 24 Mac Bernama) -- Kontrak Eversendai Corporation Bhd bagi kerja keluli struktur untuk projek Trojena Ski Village di Arab Saudi, yang diberikan oleh NEOM Company, ditamatkan berkuat kuasa 26 Mac, 2026.

NEOM Company merupakan syarikat pemaju milik kerajaan Arab Saudi yang bertanggungjawab membina dan mengurus projek mega NEOM di barat laut negara itu.

Dalam kenyataan pada Selasa, Eversendai menjelaskan pihaknya telah memenuhi obligasi kontrak tanpa sebarang kompromi terhadap keselamatan dan kualiti.

Penamatan itu dipercayai berikutan situasi geopolitik semasa di Asia Barat, tambahnya.

Eversendai memaklumkan pihaknya juga sedang menyediakan dokumen untuk mengesahkan kerja yang telah disiapkan mengikut kontrak sehingga tarikh penamatan, termasuk tuntutan penamatan serta kos demobilisasi berkaitan.

“Kami amat yakin tuntutan kami amat berasas sepenuhnya akan diberi pampasan secara adil oleh pelanggan,” tambah syarikat itu.

Syarikat itu turut memaklumkan nilai perolehan kontrak dalam tangan kini bernilai RM2.02 bilion, tidak termasuk kontrak Trojena, manakala nilai tender mencecah RM18.4 bilion.

Eversendai menjelaskan pihaknya hampir memuktamadkan projek baharu yang akan menambah nilai perolehan kontrak dalam tangan, serta operasi di Asia Barat kekal stabil walaupun menghadapi cabaran geopolitik semasa.

“Kami kekal optimis untuk memperoleh lebih banyak projek untuk terus meningkatkan prestasi kewangan pada masa hadapan,” jelasnya.

Pada Mac 2024, Eversendai mengumumkan kontrak Trojena sebagai sebahagian daripada empat projek yang dimenangi di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan India dengan nilai keseluruhan RM5.4 bilion.

-- BERNAMA