BERITA TERKINI   15 kapal melibatkan 25 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat ini - KP SNCC | 10 kapal dijangka tiba berhampiran pantai Gaza dalam tempoh kira-kira sembilan jam jika tidak berdepan gangguan - KP SNCC | 10 kapal kini dalam pelayaran di Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza - KP SNCC | Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara lapan tahun dan didenda RM284.3 juta selepas didapati bersalah atas 12 tuduhan pengubahan wang haram | Kerajaan kekalkan bantuan Budi MADANI Diesel RM300 sebulan, bantuan tambahan interim RM100 kepada penerima yang layak - Akmal Nasrullah | 

F&NHB Umum Peralihan Kepimpinan, Lantik Gupta Sebagai Bakal CEO

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings (F&N) melantik Tarang Gupta sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Beliau menggantikan Lim Yew Hoe yang akan bersara sebagai CEO pada 30 Sept 2026.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini mengenai rancangan peralihan kepimpinan, syarikat makanan dan minuman itu memaklumkan Gupta akan mengambil alih tanggungjawab sebagai CEO pada 1 Okt 2026.

Beliau mempunyai pengalaman lebih 24 tahun dalam sektor barangan pengguna cepat laris, dengan memiliki rekod kejayaan dalam pertumbuhan dan transformasi di Asia dan Afrika.

“Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan yang memantau organisasi yang kompleks dengan tanggungjawab yang menyeluruh terhadap prestasi komersial, kecemerlangan operasi dan pembangunan keupayaan.

“Pengalaman kepimpinan beliau merangkumi pelbagai kategori pengguna, termasuk produk tenusu dan nutrisi. Beliau bertanggungjawab untuk memacu pengembangan pasaran, memperkukuh disiplin pelaksanaan serta membina platform rantaian bekalan yang berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.

Gupta sebelum ini adalah Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Bhd bagi Malaysia dan Singapura.

Menurut makluman itu, Lim akan terus menerajui kumpulan berkenaan sepanjang tempoh peralihan itu dan bekerjasama rapat dengan Gupta bagi memastikan proses penyerahan tugas berjalan lancar dan teratur.

Lim berkata beliau yakin F&N berada pada kedudukan baik bagi fasa pembangunan seterusnya dan berharap untuk bekerjasama dengan Gupta sepanjang tempoh peralihan itu bagi memastikan kesinambungan serta momentum yang berterusan.

Sementara itu, Gupta berkata beliau berharap untuk bekerjasama rapat dengan Lim dan pasukan kepimpinan bagi meningkatkan keupayaan kumpulan serta memperkukuh pertumbuhannya.

-- BERNAMA