BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

Kecekapan Berbahasa Inggeris Pacu Daya Saing Global Malaysia - AMCHAM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pengukuhan kemahiran bahasa Inggeris terutama bagi tenaga kerja baharu adalah penting untuk membuka peluang, memupuk inovasi dan meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia dalam rantaian bekalan global, kata Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Siobhan Das berkata, sehubungan itu, AMCHAM menggesa pihak berkepentingan supaya terus melabur dalam pendidikan dan latihan bahasa Inggeris agar Malaysia kekal menjadi destinasi menarik bagi pelabur, syarikat multinasional dan bakat global.

"Bahasa Inggeris bukan sekadar satu kemahiran, ia adalah perniagaan strategik yang penting untuk inovasi dan pertumbuhan di rantau ini.

“Pada masa hadapan, syarikat menjangka kepentingan bahasa Inggeris akan terus meningkat dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong oleh globalisasi dan pendigitalan tempat kerja," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tinjauan terbaru oleh AMCHAM ini menunjukkan hampir 40 syarikat berpendapat penguasaan bahasa Inggeris adalah penting bagi kejayaan di tempat kerja di Malaysia.

Tinjauan itu turut menunjukkan hampir semua responden menilai penggunaan bahasa Inggeris sebagai “amat penting,” dan kebanyakan syarikat melaporkan sehingga 100 peratus tenaga kerja mereka menggunakan bahasa Inggeris setiap hari dalam komunikasi, pelaporan, latihan dan pembentangan.

Selain operasi harian, penguasaan bahasa Inggeris turut dilihat sebagai pemacu utama kemajuan kerjaya kerana ia memudahkan kerjasama antarabangsa, rangkaian profesional dan akses kepada peluang global yang lebih luas.

Selain itu, penguasaan bahasa Inggeris turut berperanan penting dalam keputusan untuk mengambil pekerja dan kenaikan pangkat, menjadikannya sebagai faktor utama dalam pertumbuhan kerjaya bakat tempatan di organisasi multinasional.

Siobhan berkata, sebagai organisasi global, anggota AMCHAM bergantung kepada bahasa Inggeris untuk menyatukan pasukan yang pelbagai, memastikan komunikasi yang jelas dengan pelanggan, dan membuka peluang bagi bakat tempatan Malaysia untuk cemerlang dalam peranan bertaraf antarabangsa.

-- BERNAMA