BERITA TERKINI   Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | Ekonomi Malaysia masih menunjukkan daya tahan yang kukuh walaupun berdepan cabaran geopolitik global - Akmal Nasrullah | Konflik Asia Barat dipantau secara menyeluruh dari sudut makroekonomi, termasuk menilai kesannya terhadap inflasi, rantaian bekalan dan kos logistik - Akmal Nasrullah | 

MOF: Tiada Penalti e-Invois Ke Atas PMKS Dalam Tempoh Peralihan

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak dikenakan penalti sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois yang berlaku dalam tempoh peralihan e-Invois dengan syarat peniaga telah mematuhi ketetapan yang dinyatakan.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini berkata sepanjang tempoh peralihan tersebut, peniaga dibernarkan untuk melaksanakan beberapa perkara.

Antaranya ialah mengeluarkan e-Invois yang disatukan untuk semua aktiviti dan transaksi serta mengeluarkan e-Invois bil kendiri yang disatukan bagi semua keadaan bil kendiri.

“(Ia termasuk) membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan ‘Keterangan Produk atau Perkhidmatan’ dan jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, peniaga juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi,” kata MOF.

Kementerian itu menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai kelonggaran kepada syarikat yang tersalah masuk data memandangan banyak antara PMKS masih berada dalam tahap permulaan pelaksanaan sistem e-Invois.

MOF memaklumkan bahawa kerajaan telah mengumumkan kemudahan tambahan dalam pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang telah bermula pada 1 Januari 2026, yang mana peniaga diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan iaitu mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 berbanding tempoh enam bulan bagi fasa pelaksanaan e-Invois sebelum ini.

-- BERNAMA