BERITA TERKINI   Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan kurnia bantuan RM2,000 kepada 39 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Teluk Jawa | Kedudukan PKR berada pada tahap terbaik, terus bina kekuatan parti - Anwar | PDRM rampas dadah bernilai RM69.65 juta dalam Op Bayu 2 di Sabah - KPN | Polis tumpas sindiket dadah antarabangsa libat sitaan RM174 juta dalam Op Coleoptera di Sabah - Ketua Polis Negara | Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dipecat dari parti itu, berkuat kuasa hari ini - Setiausaha Agung Bersatu | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Prospek Permintaan Lemah

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Rabu berikutan jangkaan bahawa permintaan minyak sawit dalam tempoh beberapa bulan akan datang adalah lemah, kata peniaga.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata penyusutan harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) turut menjejaskan permintaan ke atas minyak sawit.

“Kebimbangan mengenai kemerosotan daya saing berbanding minyak sayuran lain kekal menjadi faktor utama kepada penyusutan harga.

“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,000 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,150,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, kontrak Februari 2026 dan Mac 2026 masing-masing susut RM35 kepada RM4,003 dan RM4,035 satu tan manakala April 2026 rendah RM34 kepada RM4,061.

Kontrak Mei 2026 menyusut RM26 kepada RM4,074 satu tan, Jun 2026 rendah RM24 kepada RM4,075 dan Julai 2026 susut RM21 kepada RM4,071.

Jumlah dagangan meningkat kepada 73,729 lot daripada 73,171 pada Selasa manakala kepentingan terbuka susut kepada 218,271 kontrak daripada 218,595 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM20 kepada RM4,120 satu tan.

-- BERNAMA