MPOB Jangka Eksport Minyak Sawit Pulih Pada Separuh Kedua 2025
Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 28 Julai (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan eksport minyak sawit akan pulih pada separuh kedua tahun ini disebabkan permintaan musim perayaan yang lebih kukuh di pasaran-pasaran utama.
“Dari segi permintaan terutamanya India adalah disebabkan keperluan untuk menambah semula stok bagi musim perayaan, harga minyak sawit yang menarik dan duti import yang lebih rendah ke atas minyak sayuran mentah,” kata Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.
Ahmad Parveez berada di New Delhi minggu lalu untuk berucap pada persidangan anjuran Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA).
Pada separuh pertama tahun ini, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia susut 7.4 peratus kepada 11.39 juta tan berbanding tempoh Januari-Jun tahun lepas, menurut data MPOB.
Eksport minyak sawit direkodkan sebanyak 6.95 juta tan sepanjang tempoh enam bulan itu, menunjukkan penurunan sebanyak 7.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024 akibat permintaan yang melemah di India, China, Kesatuan Eropah, Bangladesh dan Mesir.
Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah keseluruhan eksport minyak sawit pada separuh pertama 2025, Malaysia mencatatkan pertumbuhan dalam jumlah eksport ke Filipina, Iran, Kenya dan Nigeria.
Ahmad Parveez berkata walaupun jumlah eksport menurun, pendapatan Malaysia daripada minyak sawit dan produk sawit sepanjang tempoh Januari-Jun 2025 meningkat 9.3 peratus kepada RM53.43 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Nilai eksport minyak sawit pula hampir mencecah RM34 bilion.
Minyak sawit Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah memperluaskan capaian geografinya.
Eksport minyak sawit Malaysia bagi keseluruhan tahun ini diunjur merosot sebanyak 5.3 peratus berbanding 16.9 juta tan yang dicatatkan pada 2024.
Mengenai pasaran India, Ahmad Parveez berkata permintaan kekal kukuh terutamanya dalam sektor-sektor perkhidmatan makanan, isi rumah dan pembuatan makanan.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran dan salah satunya ialah cukai import India.
“Kebimbangan utama ialah dasar import India, terutamanya perubahan yang kerap terhadap duti import. Kenaikan baru-baru ini terhadap duti efektif ke atas minyak sawit mentah kepada 27.5 peratus dan olein sawit bertapis kepada 35.75 peratus, telah mengecilkan dengan ketara kelebihan harga semula jadi minyak sawit berbanding minyak campuran seperti kacang soya dan bunga matahari,” kata Ahmad Parveez.
“Walaupun kami mengakui objektif dasar India untuk mengukuhkan pengeluaran minyak bijian domestik di bawah Misi Kebangsaan bagi Minyak Makan -- Minyak Bijian, langkah-langkah sedemikian telah menjadikan import minyak sawit makin sensitif kepada kos dan semakin kurang boleh diramalkan,” katanya.
Premium harga minyak sawit, bersama-sama dengan bekalan minyak kacang soya global yang mencukupi, menyebabkan penurunan bahagian minyak sawit dalam import minyak sayuran India kepada 46 peratus tahun ini daripada 59 peratus pada 2023, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron pada persidangan industri yang sama di New Delhi.
Bagaimanapun, bahagian Malaysia dalam import minyak sawit India meningkat kepada 35 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding 30 peratus pada 2023, kata beliau dalam pembentangan itu.
-- BERNAMA