BERITA TERKINI   FGV akan dinyahsenarai, apabila FELDA dan PAC telah melepasi ambang pemilikan 90 peratus dengan 91.73 peratus pegangan dalam syarikat itu | Pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berpaksi kepada semangat tulen memperkukuh kesejahteraan serantau -- PM Anwar | Malaysia-Indonesia bersetuju perhebat kerjasama melalui kerangka Trilateral Cooperative Arrangement bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi -- PM Anwar | ASEAN perlu depani dunia yang semakin kompleks, huru-hara dan penuh percanggahan dengan kejelasan tujuan serta wawasan - PM | Kesabaran, kepercayaan dan diplomasi berterusan adalah sifat-sifat yang kekalkan keamanan di Asia Tenggara - PM | 

Eco-Shop Catat Pendapatan, Perolehan Lebih Tinggi Pada Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Eco-Shop Marketing Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM204.32 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2025, meningkat daripada RM177.28 juta pada tahun sebelumnya.

Rangkaian kedai serbaneka yang berpangkalan di Johor itu berkata peningkatan keuntungan bersih dicapai walaupun berdepan kos operasi yang lebih tinggi akibat peluasan rangkaian kedai dan pelaksanaan dasar gaji minimum.

Perolehan bagi tahun tersebut juga mengukuh kepada RM2.79 bilion daripada RM2.40 bilion, disokong oleh penambahan bersih sebanyak 74 kedai baharu sepanjang tahun kewangan berkenaan.

“Kadar pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) bagaimanapun mencatatkan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.4 peratus, mencerminkan normalisasi dalam perbelanjaan pengguna di cawangan yang sudah matang dan sebahagiannya disebabkan oleh cabaran ketersediaan produk,” kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bilangan urus niaga jualan naik sebanyak 21.6 peratus kepada 114.8 juta pada tahun kewangan 2025.

Bagaimanapun, bagi tempoh suku keempat, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM49.41 juta daripada RM63.27 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perolehan bagi suku tersebut meningkat kepada RM688.98 juta daripada RM640.67 juta tahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pengembangan berterusan rangkaian kedai kumpulan itu dengan penambahan bersih sebanyak 22 kedai baharu pada suku berkenaan berbanding 19 kedai pada suku keempat 2024.

Jumlah kedai keseluruhan menokok kepada 371 kedai pada suku keempat 2025 daripada 297 kedai pada suku keempat 2024.

Sementara itu, syarikat mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham biasa atau kira-kira RM57.5 juta bagi tahun kewangan 2025 yang akan dibayar pada 26 Ogos 2025.

Tarikh kelayakan bagi dividen tersebut pada 12 Ogos 2025.

Menurut makluman itu lagi, bilangan urus niaga jualan meningkat sebanyak 12.4 peratus kepada 28.9 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025.

“Peningkatan harga dilaksanakan pada 14 April 2025 yang menaikkan harga jualan produk Eco-Shop kepada RM2.60 di Semenanjung dan RM2.80 di Malaysia Timur yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan kumpulan,” kata Eco-Shop.

Kumpulan itu berkata, memandangkan keutamaan pengguna terus beralih ke arah kemampuan dan kemudahan, Eco-Shop berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang lebih jauh serta meningkatkan fungsinya di seluruh negara.

“Kami kekal berhati-hati dalam mengurus tekanan kos inflasi dan struktur termasuk kenaikan tarif elektrik, pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2.0 peratus untuk pekerja asing.

“Kami memperkukuh daya tahan melalui kecekapan rantaian bekalan, penetapan harga strategik, peningkatan produktiviti dan kerjasama erat dengan pembekal kami,” katanya.

Kumpulan itu berkata walaupun terdapat halangan dalam pertumbuhan SSSG, margin dan prestasinya dijangka kekal aktif atau terus bertambah baik pada masa hadapan.

“Peluasan rangkaian kedai kami terus menjadi strategi jangka panjang penting untuk penembusan pasaran yang lebih mendalam.

"Kami kekal beri tumpuan untuk mencapai prestasi kewangan yang kukuh dan mampan dalam jangka masa panjang,” kata Eco-Shop.

-- BERNAMA