Pelaburan RM63 Bilion: Perak Nikmati Limpahan, Tumpuan Baharu Industri E&E Dan Automotif
Oleh Nur Afiradina Arshad
IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Negeri Perak kini berada di landasan baharu dalam pembangunan perindustrian apabila sebahagian daripada pelaburan strategik negara berjumlah RM63 bilion mula memberi kesan langsung khususnya dalam sektor semikonduktor serta automotif.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata beberapa syarikat penting seperti Carsem dan Unisem menjadi antara penyumbang utama dalam sektor semikonduktor yang bersifat ‘back-end services’, satu kekuatan unik yang ditawarkan oleh Perak.
“Pelaburan yang kita boleh lihat dari banyak konteks dan usaha, setakat ini di Ipoh mungkin kita boleh katakan ada high-tech dalam dua bentuk iaitu satu semikonduktor dan automotif. Di mana kita tahu di belah selatan kita ada automotif, AHTV dan kita dalam jangkaan syarikat-syarikat besar akan masuk untuk melabur.
“Perak mungkin tidak mempunyai banyak kilang semikonduktor tetapi ada beberapa yang penting dan berperanan besar di belakang tabir, khususnya dalam perkhidmatan tanpa penjenamaan besar. Inilah keunikan sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Perak dan dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memperoleh pelaburan lebih RM63 bilion melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sehingga Mac tahun ini dengan sebanyak RM5 bilion daripada sumber domestik dan RM58 bilion daripada sumber asing.
Antara projek penting termasuk pembungkusan termaju Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI); produk semikonduktor NXP, kilang fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia yang dimiliki Infineon; mikrofon MEMS dan sensor Syntiant; serta pengilangan dan pengilangan semula papan litar bercetak oleh Plexus.
Carsem (M) Sdn. Bhd ialah sebuah syarikat terkemuka dalam industri semikonduktor yang menyediakan perkhidmatan pemasangan (assembly) dan ujian (test) sebagai penyedia OSAT (Outsourced Semiconductor Assembly and Test) secara global yang terletak di dua lokasi di Perak iaitu di Carsem M Site, Jalan Lapangan Terbang dan Carsem S Site, Taman Meru Industrial Estate, Jelapang, Ipoh.
Kedua-duanya mempunyai infrastruktur R&D, makmal analisis kegagalan, dan peralatan automasi kelas dunia untuk mengekalkan piawaian kualiti tinggi bagi pelanggan industri automotif, telekomunikasi dan elektronik pengguna.
Syarikat ini mempunyai lebih 5,000 hingga 9,000 pekerja dan menghasilkan lebih 100 juta unit semikonduktor setiap minggu serta lebih 65 peratus daripada jumlah tersebut menjalani uji elektrik penuh sebelum dieksport.
Sementara itu, Loh berkata selain Carsem antara lonjakan penting ialah pengumuman pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), satu projek mega berkeluasan 3,000 ekar di utara negeri bersempadan dengan Pulau Pinang satu langkah strategik memanfaatkan limpahan pertumbuhan E&E dari negeri jiran.
“Kita lihat komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perak jelas, apabila kawasan sempadan utara mula dibangunkan untuk tarik pelabur dari sektor E&E. Ini strategi yang selama ini tertumpu ke Pulau Pinang dan Kulim, kini dibawa ke Perak.
“Selain itu, projek KIGIP yang dirancang selari dengan prinsip kelestarian alam sekitar, sejajar dengan kehendak pasaran antarabangsa yang menitikberatkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Bagaimanapun, Loh berkata untuk menikmati kesan pelaburan dan ekonomi yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri ia akan mengambil masa kerana potensi pelaburan ini memerlukan perancangan yang teliti melibatkan pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta.
“Proses dari perancangan ke pembinaan dan operasi memakan masa. Anggaran kita, ‘booming’ (ekonomi berkembang pesat) sebenar akan mula terasa sekitar tahun 2030 kerana pembangunan kawasan industri memerlukan fasa perancangan, kerja tanah, pemasangan infrastruktur sebelum kilang mula beroperasi dan mengambil pekerja.
“Walaupun tapak projek itu belum siap kerajaan negeri juga telah bersedia dalam pelbagai aspek seperti menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian kerana di Negeri Perak kira ada Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menyediakan pelbagai kursus mengikut industri tersebut,” katanya.
Beliau berkata setakat ini unjuran Perak Sejahtera 2030 menunjukkan jumlah peluang pekerjaan baharu adalah bagi sektor primer sebanyak 130,800 manakala sektor sekunder 352,900.
-- BERNAMA