BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

Megah Port Fokus Rancangan Kerjasama Baharu Di Festival Flora Borneo 2025

LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) memanfaatkan penyertaan dalam Festival Flora Borneo 2025 untuk menonjolkan keupayaan logistik maritim dan operasi pelabuhan Labuan, di samping menggariskan perancangan libat urus dengan agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat umum.

Ketua Komunikasi Korporat MPM Annira Dulaab berkata syarikat itu berhasrat memperkukuh kedudukan Labuan sebagai hab maritim strategik melalui jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan awam dan swasta serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan pelabuhan yang semakin berkembang merangkumi pengendalian kargo, perkhidmatan kapal, operasi kapal persiaran serta pembangunan infrastruktur.

MPM merupakan antara lebih 30 pempamer di acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

“Pengunjung diberi pendedahan mengenai operasi harian, penyelarasan logistik, langkah keselamatan serta hala tuju masa depan industri maritim Labuan yang kian berkembang,”  katanya kepada Bernama selepas lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pada Sabtu.

Dr Zaliha turut diberi taklimat mengenai sokongan MPM terhadap penganjuran festival itu, termasuk sumbangan penajaan, dan menyambut baik pendekatan proaktif syarikat dalam usaha mendekati orang awam serta memupuk kerjasama rentas sektor.

“Inisiatif MPM mencerminkan kepentingan mendekatkan masyarakat dengan peranan strategik pelabuhan, selain menunjukkan potensi kerjasama antara kerajaan dan industri dalam memajukan bidang pendidikan serta pelancongan,” katanya.

Festival Flora Borneo 2025 menampilkan lebih 250,000 tumbuhan berbunga dan pameran kreatif itu menjadi platform interaksi komuniti, pendidikan dan penglibatan korporat.

Bagi MPM, penyertaan dalam festival ini menjadi langkah permulaan kepada inisiatif libat urus masa depan dalam usaha memperkukuh profil pelabuhan Labuan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA