BERITA TERKINI   PM Anwar akan lakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia, mulai 28 Julai bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto - Duta Besar Malaysia ke Indonesia | Rakyat perlu menilai usaha kerajaan berasaskan fakta, bukan ikut sentimen politik - PM Anwar | 

Kerajaan Persekutan Tekad Perkasa JS-SEZ - PM Anwar

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkasa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)  dan melonjakkan pembangunan Johor sebagai pintu masuk strategik negara.

Perdana Menteri berkata usaha mewujudkan JS-SEZ bukan sahaja akan mempercepatkan aliran pelaburan ke negeri itu, malah ia membina sinergi kukuh antara dua negara dari aspek pembangunan industri, tenaga kerja dan teknologi.

“Saya sendiri telefon Perdana Menteri Singapura ketika itu dan runding. Kini dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, kita bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan bawa hampir separuh kabinet turun ke Johor, tak pernah berlaku sebelum ini,” katanya dalam ucapannya semasa Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, JS-SEZ telah mula menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor strategik.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam persaingan pelaburan serantau dan harus memanfaatkan kedudukan strategik Johor khususnya bersempadan dengan negara maju seperti Singapura, katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor Sultan Ibrahim, atas sokongan Seri Paduka Baginda dalam mengangkat potensi Johor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Johor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia berjumlah RM30.1 bilion untuk suku pertama 2025.

Pada Januari lepas, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.

JS-SEZ adalah projek pembangunan mega yang merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai, dan Sedenak.Zon ekonomi itu disasarkan antara lainnya menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun

-- BERNAMA