BERITA TERKINI   Kemajuan Malaysia di bawah kerangka MADANI perlu dipacu teknologi, berteraskan nilai moral yang kukuh - Anwar | PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | 

Pelaburan Infineon Kukuhkan Malaysia Sebagai Hab Semikonduktor Global, Cipta 1,500 Pekerjaan

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) --  Pelaburan mega oleh Infineon Technologies bukan sahaja melonjakkan Malaysia sebagai pusat pengeluaran semikonduktor global, malah mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan potensi pelaburan RM30 bilion itu semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Jerman, susulan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Infineon di sana. 

“Kini, potensi itu telah menjadi realiti. Infineon Technologies, gergasi semikonduktor dari Jerman, telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah,” katanya dalam hantaran di platform X, hari ini.

Tengku Zafrul berkata fasa pertama kilang ini bukan sahaja sudah siap, malah telah mula beroperasi, menandakan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap peranan kerajaan pusat dalam menarik pelaburan bernilai tinggi ke Kedah. 

Komitmen Infineon itu juga kata beliau, turut memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui Program Pembangunan Vendor Tempatan yang dilancarkan pada 15 Jan, 2025, yang kini menyokong 139 syarikat tempatan. 

Pelaburan ini adalah komitmen yang sangat signifikan dan bukti keyakinan Infineon terhadap Malaysia. “Daripada potensi, kita jadikan realiti,” katanya.

-- BERNAMA