Harga MSM Dijangka Kekal Stabil Pada Separuh Kedua 2025 - PIVB
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan unjuran neutral terhadap sektor perladangan, dengan harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil pada separuh kedua 2025, dengan julat dagangan antara RM4,000 dan RM4,300 satu tan.
Menurut firma penyelidikan itu dalam nota hari ini, unjuran tersebut disokong oleh tahap inventori yang stabil selepas melepasi paras 2 juta tan, selain momentum eksport yang meningkat didorong oleh daya saing harga berbanding minyak kacang soya.
“Pada masa ini, niaga hadapan MSM diniagakan pada RM4,330 satu tan. Momentum eksport, terutamanya ke India dijangka meningkat didorong oleh perbezaan harga yang ketara antara minyak sawit dan minyak kacang soya serta tahap inventori yang rendah di negara tersebut,” katanya.
Menurut bank pelaburan itu, unjuran harga MSM untuk sepanjang tahun kekal pada RM4,200 satu tan.
“Pilihan utama kami ialah Sarawak Plantation dan Ta Ann, kedua-duanya menawarkan hasil dividen yang menarik antara lima peratus dan enam peratus,” katanya.
Sementara itu, kos pengeluaran yang lebih rendah dijangka pada separuh kedua 2025 walaupun sebelum ini terdapat tekanan daripada kenaikan gaji minimum dan kos baja.
“Walaupun gaji minimum dan harga baja tinggi pada separuh pertama 2025, kami menjangka kos pengeluaran yang lebih rendah pada separuh kedua 2025, disokong oleh hasil tandan buah segar dan kredit isirung sawit yang meningkat,” katanya.
Katanya pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus untuk pekerja asing yang akan bermula pada Oktober ini dijangka mengurangkan kos buruh sektor perladangan kurang daripada satu peratus.
Dari segi dasar, katanya program biodiesel B40 Indonesia dilaksanakan mengikut perancangan yang berpotensi menyokong permintaan jangka panjang terhadap minyak sawit sebagai bahan mentah bio bahan api.
Ia turut mengingatkan mengenai risiko alam sekitar apabila peningkatan ketara dalam titik panas kebakaran di Sumatera dan Kalimantan yang boleh mewujudkan kebimbangan jerebu merentasi sempadan jika cuaca kering berterusan.
Katanya permintaan lembap dan harga yang tidak stabil terus memberi tekanan kepada segmen oleokimia Malaysia, terutamanya kepada pemain yang bergantung pada minyak isirung sawit dan pasaran eksport.
“Harga minyak isirung sawit yang tidak stabil memberi kesukaran untuk lindung nilai kos manakala pengukuhan ringgit memberi impak negatif kepada hasil. Pemain yang terjejas termasuklah SD Guthrie, KLK dan IOI Corp,” katanya.
Menurut firma penyelidikan itu, tarif Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 peratus ke atas produk minyak sawit Malaysia dijangka tidak memberi impak yang ketara.
“Walaupun ini menjadikan produk Malaysia kurang kompetitif, AS hanya menyumbang kurang daripada tiga peratus eksport minyak sawit Malaysia pada 2024, justeru, impaknya adalah terhad,” katanya.
Sebaliknya, katanya cadangan peluasan mandat bio bahan api oleh kerajaan AS boleh menyebabkan kenaikan harga minyak kacang soya, secara tidak langsung menyokong tarikan minyak sawit di pasaran global.
-- BERNAMA