Langkah Fiskal Kerajaan Dijangka Beri Impak Jangka Pendek & Sederhana - Bank Islam
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Langkah fiskal yang diumum kerajaan baru-baru ini dijangka memberi kesan jangka pendek dan sederhana terhadap ekonomi negara khususnya dari segi penggunaan swasta, inflasi dan kedudukan fiskal, menurut Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB).
Dalam satu nota hari ini, bank itu percaya langkah intervensi ini tepat pada masanya berikutan ekonomi berdepan cabaran luaran yang semakin meningkat, termasuk kemungkinan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS), gangguan rantaian bekalan global daripada peningkatan ketegangan dagangan serta permintaan global yang semakin lemah.
“Pada masa yang sama, petunjuk penggunaan domestik juga menunjukkan tanda-tanda kelembapan,” menurut BIMB.
Bagaimanapun, bank itu menjangkakan suntikan tunai sebanyak RM2.0 bilion – bersamaan kira-kira 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ke dalam bajet isi rumah akan memberikan sokongan segera kepada perbelanjaan pengguna, khususnya dalam kalangan isi rumah B40.
“Dengan bantuan tunai akan mula disalurkan mulai 31 Ogos, angka jualan runcit dijangka menunjukkan peningkatan bermula September,” katanya.
Beliau berkata langkah itu berpotensi merangsang semula aktiviti pengguna dan memberi limpahan manfaat kepada perniagaan, yang mungkin dicerminkan dalam data perdagangan borong bagi bulan berkenaan.
Pada Rabu, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, termasuk bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pembekuan kenaikan tol bagi 10 lebuh raya, serta subsidi bersasar yang menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter.
BIMB berkata walaupun pemberian sekali bayar itu mungkin melibatkan tambahan perbelanjaan fiskal sekitar RM4.4 bilion, sasaran defisit fiskal sebanyak 3.8 peratus bagi 2025 dijangka kekal.
“Ini disokong oleh jangkaan peningkatan hasil kerajaan sebanyak RM5.0 bilion menerusi peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang dijangka dapat mengimbangi perbelanjaan tambahan tersebut.
“Sehubungan itu, impak ke atas terbitan kasar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dijangka bersifat neutral,” katanya.
-- BERNAMA