BERITA TERKINI   Kemajuan Malaysia di bawah kerangka MADANI perlu dipacu teknologi, berteraskan nilai moral yang kukuh - Anwar | PM Anwar dijangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya - PMO | PM Anwar jangka bertemu pemimpin Kemboja, Thailand esok di Putrajaya | GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | 

Langkah Fiskal Baharu Kerajaan Tumpu Kebimbangan Rakyat - Bank Pelaburan

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Langkah fiskal yang diumumkan kerajaan semalam dilihat sebagai langkah positif untuk menangani isu yang menjadi kebimbangan rakyat iaitu kenaikan kos sara hidup.

Inisiatif itu juga melengkapkan langkah penurunan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia yang bertujuan  mengekalkan dan menjamin pertumbuhan ekonomi negara.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjelaskan peruntukan sekali sahaja di bawah prgram Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan membantu menambah baik sentimen pengguna dan menyokong perbelanjaan bagi barangan keperluan.

Penjimatan daripada pengurangan harga petrol RON95 bersubsidi pula boleh dialihkan kepada bentuk perbelanjaan lain, tambahnya.

“Kami berpendapat sejajar dengan pelonggaran dasar monetari baru-baru ini, langkah fiskal yang diumumkan semalam merupakan tindakan proaktif kerajaan untuk menggalakkan perbelanjaan domestik, mengurangkan kesan akibat persekitaran perdagangan luar yang lembap, dan menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

MBSB IB menambah pihaknya menjangkakan peruntukan tambahan bagi SARA, penangguhan kenaikan tol, jualan RAHMAH dan inisiatif lain tidak akan memberi kesan negatif terhadap kedudukan fiskal kerajaan.

Bank pelaburan itu menjangkakan semua langkah itu akan cukup dibiayai melalui hasil tambahan sebanyak RM10 bilion yang dijangka daripada peluasan liputan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), berbanding anggaran awal RM5 bilion.

Pada masa sama, MBSB IB turut menyatakan perbelanjaan sebenar subsidi minyak adalah lebih rendah daripada yang digariskan dalam belanjawan, memandangkan harga minyak mentah kini berada di bawah paras US$70 setong -- lebih rendah daripada purata andaian US$75 hingga US$80 setong dalam Belanjawan 2025.

“Dengan kata lain, peruntukan subsidi yang tidak digunakan ini memberikan ruang fiskal kepada kerajaan untuk menurunkan harga RON95, yang dijangka berkuat kuasa menjelang hujung tahun ini.

"Oleh itu, kami menjangkakan tiada keperluan untuk pinjaman tambahan oleh kerajaan, memandangkan perbelanjaan fiskal tambahan ini akan dibiayai melalui kutipan hasil yang lebih tinggi dan penjimatan daripada peruntukan yang tidak dibelanjakan,” menurut bank itu.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menambah pemberian tunai sekali sahaja sebanyak RM100 serta harga petrol RON95 yang lebih rendah untuk kebanyakan rakyat Malaysia akan menyokong penggunaan swasta.

“Sebagai konteks, dengan andaian RM100 dibelanjakan sepenuhnya seperti yang dimaksudkan, kami menganggarkan perbelanjaan RM2 bilion ini boleh meningkatkan pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak kira-kira 0.2 mata peratusan,” kata bank itu.

Mengenai defisit fiskal, HLIB menganggarkan pemberian tunai RM2 bilion tersebut mewakili kira-kira 0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kami juga mengambil maklum walaupun kerajaan mungkin berdepan sedikit peningkatan kos subsidi akibat penurunan harga RON95 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter, perkara ini dijangka diimbangi sepenuhnya oleh pelan rasionalisasi subsidi bersasar kerajaan, harga minyak global yang lebih rendah dan pengukuhan ringgit,” jelasnya.

Peluasan liputan SST telah dilaksanakan pada Julai dengan sasaran hasil sebanyak RM5 bilion atau 0.2 peratus daripada KDNK bagi 2025, tambah bank pelaburan itu.

“Mengambil kira kesemua faktor ini, kami mengekalkan unjuran defisit fiskal kami pada -3.8 peratus daripada KDNK (2024: -4.1 peratus daripada KDNK),” tambahnya.

-- BERNAMA