Muruku Bonda: Resipi Vegetarian Daripada Ibu Mertua Tempa Daya Tahan Sejak 1984
Oleh Farhana Poniman
BUKIT MERTAJAM, 20 Julai (Bernama) -- Resipi muruku diwarisi daripada ibu mertua menjadi “elemen istimewa” yang menjadikan perniagaan suami isteri dari Guar Perahu di sini kekal berdaya tahan sejak 1984 dan mendapat sambutan daripada pelanggan dalam dan luar negara.
Idris Alias, 67, dan Fatimah Ishak, 63, memulakan perniagaan muruku dari rumah mereka selepas si isteri menerima resipi itu daripada ibu mertua.
Fatimah berkata keistimewaan produk muruku yang dibangunkan dengan jenama Muruku Bonda terletak pada penggunaan bahan semula jadi tanpa pewarna dan tidak mengandungi telur, ikan bilis atau sebarang bahan berasaskan haiwan.
Oleh yang demikian, Muruku Bonda amat sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet vegetarian, katanya.
“Waktu itu saya sedang mengandung tujuh bulan, jadi kami buat sikit-sikit sahaja. Modal pun kecil tapi saya cuba juga dengan menerima tempahan daripada rakan-rakan.
“Bermula dari rumah sehingga dapat mengembangkan perniagaan kami yang dijenamakan ‘Muruku Bonda’ seterusnya mempunyai kedai di Kubang Semang, di sini, sembilan tahun lalu. Keuntungan daripada perniagaan, kami melabur semula secara berperingkat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata lebih 85 peratus pelanggan mereka adalah daripada masyarakat Cina, dan menjadikan musim perayaan Tahun Baharu Cina sebagai musim kemuncak operasi Muruku Bonda setiap tahun.
“Kami pernah mendapat tempahan dari Taiwan namun terpaksa menolaknya kerana kos penghantaran yang tinggi. Bagaimanapun, pelanggan tersebut tetap datang sendiri ke sini dan membeli dalam kuantiti yang banyak untuk dibawa pulang,” katanya.
Fatimah berkata pada masa ini, perniagaan mereka hanya menggunakan dua mesin untuk menggoreng namun pada hari biasa hanya satu mesin beroperasi dengan kapasiti pengeluaran 150 kilogram sehari, dan boleh mencecah sehingga 200 kilogram pada musim perayaan.
Sementara itu, Idris pula berkata perniagaan keluarga itu kini dibantu oleh anak lelaki dan menantu mereka.
Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi sebagai usahawan, beliau berkata ruang operasi yang terhad adalah cabaran utama dalam memenuhi permintaan yang tinggi, sehingga menyebabkan mereka terpaksa menolak tawaran untuk menempatkan produk Muruku Bonda di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu masih berazam untuk mengembangkan perniagaan tersebut ke ruang yang lebih besar pada masa hadapan, seterusnya dapat mewariskannya kepada anak tunggal mereka.
“Saya nasihatkan usahawan muda supaya kenal pasti produk dan pelanggan masing-masing. Perlu ada kesabaran dalam dunia perniagaan.
“Paling penting sebagai orang Islam, kita perlu selalu bersedekah dan membayar zakat. Itu kunci rezeki yang berpanjangan, bukan sahaja dari segi kewangan malah juga kesihatan,” katanya.
-- BERNAMA