Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari, Sejajar Dengan Pasaran Serantau

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Khamis, sejajar kenaikan yang dicatatkan pasaran serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.82 mata atau 0.39 peratus kepada 1,517.32 daripada 1,511.50 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.39 mata lebih tinggi kepada 1,511.89 dan bergerak antara 1,511.64 hingga 1,519.50 sepanjang sesi itu.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 418 berbanding 374, manakala 430 kaunter kekal tidak berubah, 1,235 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.89 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Pasaran tempatan bergerak selari dengan kebanyakan bursa serantau lain seperti Indeks Hang Seng Hong Kong yang naik 0.07 peratus kepada 24,534.84, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.40 peratus kepada 4,148.59, dan Nikkei 225 Jepun menokok 0.24 peratus kepada 39,759.93.

Bagaimanapun Kospi Korea Selatan susut 0.05 peratus kepada 3,184.85.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya menjangkakan FBM KLCI kekal dalam fasa tidak banyak berubah ini.

“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,500 hingga 1,510,” katanya dalam nota penyelidikan.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM9.54 dan RM4.24. IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.51, manakala Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM13.68 dan RM6.50.

Bagi saham paling aktif, iCents Group naik 9.5 sen kepada 33.5 sen, Tanco menambah satu sen kepada 90.5 sen, Lotte Chemical Titan meningkat 6.5 sen kepada 57 sen, NexG naik setengah sen kepada 49 sen, manakala Zetrix AI susut satu sen kepada 94 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 36.79 mata kepada 11,407.82, Indeks FBMT 100 naik 37.21 mata kepada 11,169.86, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 46.14 mata kepada 11,450.09.

Indeks FBM 70 menokok 30.62 mata kepada 16,552.01, manakala Indeks FBM ACE meningkat 29.95 mata kepada 4,612.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 53.65 mata kepada 17,297.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.25 mata kepada 153.88, Indeks Tenaga meningkat 0.99 mata kepada 736.66, dan Indeks Perladangan menokok 7.07 mata kepada 7,413.86.

-- BERNAMA