Kerajaan Perlu Kaji Dengan Teliti Kemungkinan Buka Had Ekuiti Asing Dalam Sektor Tertentu

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu mengkaji dengan teliti kemungkinan untuk meliberalisasikan keperluan ekuiti asing dalam sektor tertentu di tengah-tengah rundingan perdagangan yang sedang berjalan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata isu sekatan pemilikan ekuiti asing dalam sektor tertentu di Malaysia telah dibangkitkan semasa rundingan perdagangan tersebut.

Menurutnya, terdapat permintaan agar Malaysia mengkaji semula atau meliberalisasikan sektor yang tertakluk kepada sekatan ekuiti asing, kerana banyak negara juga diminta melakukan perkara yang sama.

“Bagi kita, kita perlu berunding dengan industri terbabit sama ada kita bersedia untuk meliberalisasikan sekatan pegangan saham ekuiti tersebut, terutamanya apabila melibatkan sekatan ekuiti asing dalam banyak sektor kita.

"Jika anda sebuah negara yang berdaulat dan untuk kepentingan strategik, adakah anda sanggup berbuat demikian? Jadi kita perlu mengkaji dengan teliti apakah kesannya," katanya semasa sidang media sempena pengumuman kad laporan MITI bagi suku kedua 2025, di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa sektor sudahpun diliberalisasi sepenuhnya, sambil menambah dalam sektor pembuatan hampir semua telah dibukakan, manakala bagi sektor strategik, negara masih mengekalkan sekatan ekuiti asing.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata rundingan perdagangan yang sedang berjalan dengan wakil AS kini menumpukan kepada isu bukan tarif, walaupun tiada terma baharu dibangkitkan.

"Saya telah menetapkan tarikh akhir bagi pasukan perundingan, dan ada isu yang kami masih perlukan masa kerana ia melibatkan banyak agensi dan kementerian. Kami sedang berusaha memuktamadkannya sebelum tarikh akhir tarif pada 1 Ogos.

"Kami akan mengadakan satu lagi perbincangan pada minggu ini dan mempercepatkan perbincangan sehingga akhir bulan ini," katanya.

-- BERNAMA