Niaga MSM Ditutup Rendah Berikutan Pengambilan Keuntungan
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini berikutan pengambilan keuntungan oleh para peniaga.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata peniaga sibuk mengambil keuntungan susulan kenaikan semalam, yang menyaksikan harga melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan.
Pengukuhan ringgit turut memberi tekanan ke atas pasaran.
"Ringgit mengukuh berbanding dolar US, menjadikan MSM yang didenominasi ringgit lebih mahal untuk pembeli antarabangsa," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata jangkaan prestasi eksport yang lebih perlahan juga memberi kesan ke atas harga.
"MSM menurun di bawah RM4,200 setan selepas peniaga mula bimbang mengenai kelemahan eksport pada minggu-minggu akan datang, ini menyebabkan sentimen pasaran terjejas.
"Kami melihat sokongan harga pada paras RM4,100 setan dan rintangan pada RM4,300," katanya.
Pada penutup, kontrak Julai kekal tidak berubah pada RM4,109 setan, Ogos 2025 menurun sebanyak RM77 kepada RM4,106 setan dan September 2025 jatuh RM84 kepada RM4,146 setan.
Oktober 2025 berkurangan RM78 kepada RM4,163 setan, November 2025 susut RM70 kepada RM4,166 setan dan Disember 2025 merosot RM63 kepada RM4,168 setan.
Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan turun sebanyak RM70 kepada RM4,120 setan.
-- BERNAMA