BERITA TERKINI   Agong titah JBPM tingkat tahap kesiapsiagaan berikutan cuaca panas yang berpotensi cetus peningkatan kes kebakaran | Fenomena cuaca panas: Agong titah KPM ambil perhatian serius, pastikan kesihatan murid tidak terjejas | Fenomena cuaca panas: Agong nasihat rakyat ambil langkah berjaga-jaga, kurangkan aktiviti luar | 

DXN Meterai MoU Dengan Invest Kedah Lonjak Kerjasama Strategik

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- DXN Holdings Bhd (DXN) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Invest Kedah Bhd untuk mewujudkan kerjasama strategik, dengan matlamat merangsang pembangunan mampan dan meneroka peluang pelaburan merentas sektor ekonomi utama di Kedah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, syarikat itu menjelaskan mengikut MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka inisiatif pembangunan pertanian termasuk penanaman kopi dan cendawan, peluang pelaburan dalam ekopelancongan dan akuakultur di Langkawi, serta memajukan pembangunan sosioekonomi dan bakat Kedah, antara lain.

“MoU ini bertempoh lima tahun daripada tarikh pemeteraian,” menurut DXN.

Invest Kedah ialah syarikat berkaitan kerajaan negeri yang berperanan sebagai agensi utama penggalakan pelaburan di bawah kerajaan negeri Kedah.

DXN turut memaklumkan MoU itu adalah tidak terikat dan tidak akan memberi impak kewangan melainkan dan sehingga perjanjian muktamad yang berkaitan dimeterai oleh kedua-dua pihak.

-- BERNAMA