BERITA TERKINI   Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa 1 Feb - Mohamed Khaled | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah berikutan pemain pasaran menunggu pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) malam ini.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata para peniaga memberi tumpuan kepada data inflasi AS bukan semata-mata untuk menilai trend, tetapi untuk melihat sama ada tarif Presiden Donald Trump mula memberi kesan kepada harga barangan pengguna.

“Pasaran emas telah mengambil kira pendirian cenderung mengekalkan kadar faedah rendah Rizab Persekutuan AS serta risiko geopolitik. Kini, pasaran berada dalam fasa ‘tunggu dan lihat’. Bagaimanapun, emas dan dolar AS masih sangat sensitif terhadap sebarang kejutan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,371.60 setiap auns troy berbanding US$3,377.70 setiap auns troy semalam.

Kontrak Ogos 2025 merosot kepada US$3,389.80 setiap auns troy daripada US$3,394.90 ketika ditutup pada Isnin, manakala kontrak September 2025 turun kepada US$3,395.70 setiap auns troy daripada US$3,418.00 sebelum ini.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 masing-masing ditutup rendah pada US$3,423.80 setiap troy berbanding US$3,430.40 semalam.

Jumlah dagangan naik kepada 68 lot daripada 37 lot ketika ditutup semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 99 kontrak daripada 78 kontrak sebelum itu.

Harga emas fizikal berada pada paras US$3,351.15 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 14 Julai 2025.

-- BERNAMA