BERITA TERKINI   Sistem kuota bumiputera sedia ada bagi Program Matrikulasi kekal dan tidak terjejas - KPM | Semua pelajar cemerlang 10A SPM 2024 yang mohon Program Matrikulasi akan ditawarkan tempat - KPM | 

Tubuh Kementerian Pengangkutan Penuh Pacu Pembaharuan Logistik Sabah - Pakar

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 25 Jun (Bernama) -- Pakar pengangkutan dan logistik menggesa kerajaan Sabah mewujudkan Kementerian Pengangkutan penuh untuk melaksanakan pembaharuan institusi dan perancangan strategik jangka masa panjang.

Bekas Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia dan Naib Presiden CILT Antarabangsa bagi Asia Tenggara Datuk Dr Ramli Amir berkata pada masa ini, hal ehwal pengangkutan dan logistik Sabah ditadbir urus di bawah portfolio yang meluas tanpa kementerian khusus.

Beliau berkata penubuhan Majlis Logistik Sabah (SLC) merupakan satu langkah ke hadapan untuk menyelesaikan sistem infrastruktur negeri yang berpecah-pecah dan kurang berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun, langkah tersebut masih belum mencukupi untuk menangani isu sistemik, katanya,

“Sebagai Kementerian Pengangkutan Sabah yang penuh, ia akan memastikan peruntukan kewangan, kepimpinan berpusat, serta bidang kuasa untuk membangunkan pelan induk logistik dan pengangkutan Sabah yang lengkap,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Ramli berkata kementerian sedemikian akan bertanggungjawab untuk menyepadukan semua mod pengangkutan -- jalan raya, rel, laut, udara dan pengangkutan awam -- dalam satu kerangka tunggal dan kohesif.

“Kita perlu beralih daripada pendekatan reaktif dan sementara kepada model perancangan yang strategik dan dipacu data. Ini termasuk (keutamaan jangka masa panjang) seperti logistik luar bandar, mobiliti pintar, dan penyahkarbonan,” katanya.

Ramli berkata teras kepada transformasi itu adalah pelan induk pengangkutan menyeluruh pertama Sabah.

Beliau berkata dokumen yang dicadangkan itu akan menjadi panduan bagi pembangunan infrastruktur sehingga 2050 dan seterusnya, menjajarkan projek dengan matlamat ekonomi di samping memastikan kelestarian alam sekitar.

Pelan induk itu akan menghubungkan hab utama seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di samping menangani isu akses luar bandar dan kesaksamaan pengangkutan, katanya.

Beliau berkata ketersambungan inter-mod mesti menjadi teras utama memandangkan bentuk muka bumi Sabah memerlukan pendekatan pelbagai mod, dan strategi infrastruktur negeri perlu mencerminkan keperluan itu.

“Kita juga perlu mereka bentuk sistem yang tahan terhadap perubahan iklim dan menggalakkan penyelesaian pengangkutan rendah karbon,” katanya.

Ramli berkata selain menjadi panduan kepada keutamaan infrastruktur, pelan induk itu juga akan membantu menarik pelaburan swasta dan merangsang inovasi.

Beliau berkata dengan menyelaraskan strategi Sabah dengan dasar kebangsaan melalui platform seperti Majlis Pengangkutan Negara, pelan itu akan memastikan kesinambungan antara hubungan tempatan dan peringkat nasional.

Logistik bukan sekadar untuk menggerakkan barangan malah juga sebagai pemangkin daya saing, pelaburan dan pertumbuhan.

“Penubuhan Kementerian Pengangkutan yang khusus di Sabah bukan lagi satu pilihan, malah juga langkah penting untuk menangani isu perpecahan infrastruktur dan menjadikan Sabah sebagai hab logistik serantau,” katanya.

Beliau berkata berlandaskan struktur institusi yang jelas dan perancangan jangka masa panjang, Sabah akhirnya boleh bergerak melangkaui pembangunan infrastruktur yang sedikit demi sedikit serta meletakkan asas untuk kemajuan ekonomi yang inklusif, mampan sedia masa depan.

-- BERNAMA