BERITA TERKINI   Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk selesaikan semua saman tertunggak -- Loke | MOT gesa semua syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres amal budaya utamakan keselamatan -- Loke | Pelaburan langsung asing Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023 -- DOSM | Malaysia, Republik Kyrgyz desak Israel tamatkan jenayah genosid demi keselamatan dan keadilan buat Gaza – PM Anwar | Kertas siasatan libatkan Ismail Sabri selesai, Timbalan Pendakwa Raya setuju fail permohonan lucutkan hak RM 170 juta - KP SPRM | 

Ringgit Terus Meningkat Selepas Fed Beri Petunjuk Kekalkan Kadar Faedah

Oleh Siti Noor Afera Abu and Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum kenaikan untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Rabu selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi petunjuk bahawa mereka tidak tergesa-gesa untuk menurunkan kadar faedah, sebaliknya memilih untuk memantau hala tuju ekonomi, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2350/2450 berbanding dolar AS daripada 4.2410/2465 pada Selasa. 

Ringgit meningkat 5.47 peratus setakat ini pada tahun ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan Pengerusi Fed Jerome Powell kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan Dewan AS menunjukkan penggubal dasar tidak tergesa-gesa untuk menurunkan Kadar Dana Fed.

Sehubungan itu, katanya Indeks Dolar AS (DXY) terus merosot kepada 97.858 mata manakala minyak mentah Brent jatuh kepada US$67.14 setong.

“Jika sentimen kurang kepada menaikkan kadar faedah, ia boleh menyebabkan hasil bon berkurangan dan hasil yang lebih rendah cenderung menjadikan dolar AS kurang menarik kepada pelabur.

“Ini akan memberi manfaat kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit ditutup tinggi dengan meningkat 1.19 peratus berbanding dolar AS pada Selasa, ditutup pada RM4.2438.

Afzanizam berkata ringgit berpotensi melepasi paras sokongan segera dan berada pada RM4.23 hingga RM4.24 hari ini.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9211/9282 daripada 2.9256/9296 pada Selasa, meningkat berbanding pound kepada 5.7651/7787 daripada 5.7707/7782 dan naik berbanding euro kepada 4.9173/9289 daripada 4.9225/9289 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3083/3164 daripada 3.3130/3178, naik kepada 12.9701/13.0147 daripada 12.9793/13.0021 berbanding baht Thailand, tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 258.9/259.6 daripada 259.3/259.7 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.43 daripada 7.41/7.44.

-- BERNAMA