BERITA TERKINI   Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bebaskan isteri bekas pengarah Jabatan Air Sabah, bekas timbalan pengarah daripada tuduhan pengubahan wang haram | TLDM cari alternatif sistem peluru berpandu NSM Norway bagi lengkapkan persenjataan kapal pertahanan negara - Menteri Pertahanan | Pengubahan wang haram lebih RM45 juta: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu | MINDEF tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu - Mohamed Khaled | MPOC jangka harga MSM kekal pada sekitar RM4,400 satu tan pada Jun 2026 | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Minggu Ini Susulan Sentimen Pasaran Menurun

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih rendah setelah pasaran mencerna data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menunjukkan sentimen menurun.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata data berkenaan menunjukkan peningkatan pengeluaran pada Mac yang lebih kukuh daripada jangkaan serta menandakan bermulanya musim hasil yang lebih tinggi menjelang suku kedua.

“Pada masa yang sama, petunjuk awal menunjukkan prestasi eksport bagi April bermula dengan lemah,” katanya kepada Bernama.

Data MPOB yang dikeluarkan hari ini menunjukkan inventori minyak sawit Malaysia merosot pada Mac iaitu penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut serta mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Hal ini disebabkan oleh lonjakan eksport yang lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi peningkatan pengeluaran yang sederhana.

Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 menyusut RM80 kepada RM4,491 setiap tan, kontrak Mei 2026 turun RM110 kepada RM4,500 setiap tan manakala kontrak Jun 2026 berkurang RM105 kepada RM4,538 setiap tan.

Kontrak Julai 2026 merosot RM101 kepada RM4,551 setiap tan, kontrak Ogos 2026 menyusut RM96 kepada RM4,539 setiap tan manakala kontrak September 2026 turun RM93 kepada RM4,520 setiap tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 94,307 lot daripada 66,606 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka mencatatkan angka lebih tinggi iaitu pada 259,223 kontrak daripada 258,033 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan susut RM70 kepada RM4,580 setiap tan.

-- BERNAMA