BERITA TERKINI   Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bebaskan isteri bekas pengarah Jabatan Air Sabah, bekas timbalan pengarah daripada tuduhan pengubahan wang haram | TLDM cari alternatif sistem peluru berpandu NSM Norway bagi lengkapkan persenjataan kapal pertahanan negara - Menteri Pertahanan | Pengubahan wang haram lebih RM45 juta: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Ag Mohd Tahir didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu | MINDEF tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu - Mohamed Khaled | MPOC jangka harga MSM kekal pada sekitar RM4,400 satu tan pada Jun 2026 | 

Harga MSM Dijangka Terus Meningkat Susulan Mandat Biodiesel, Harga Minyak Tinggi - CIMB Securities

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka terus meningkat, disokong oleh pelaksanaan mandat biodiesel, harga minyak lebih tinggi serta risiko bekalan yang dikaitkan dengan faktor cuaca, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam nota penyelidikan hari ini, katanya konflik Asia Barat yang semakin meruncing sejak 28 Februari telah mendorong peningkatan mendadak harga tenaga.

Katanya harga minyak gas di ICE (Intercontinental Exchange) naik 71 peratus kepada US$1,246 satu tan manakala minyak mentah Brent melonjak 33 peratus kepada US$96 setong susulan penutupan Selat Hormuz (US$1=RM3.97).

Menurut CIMB Securities, selain itu, rancangan Indonesia untuk melaksanakan mandat B50 bermula 1 Julai 2026 dan keperluan biobahan api Amerika Syarikat yang tinggi seperti diumumkan baru-baru ini, menunjukkan kesan positif terhadap permintaan minyak makan.

Firma itu turut menyatakan kebimbangan sama ada bahan mentah adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan makanan dan biodiesel berikutan risiko cuaca (62 peratus kemungkinan kepada fenomena El Niño antara Jun hingga Ogos 2026) dan kenaikan harga baja. 

Menurut CIMB Securities, harga minyak sawit yang tinggi dijangka menyebabkan permintaan dicatu untuk penggunaan makanan, yang mungkin mengehadkan kenaikan harga selanjutnya.

“Kami mengunjurkan harga MSM sebanyak RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,500 satu tan bagi 2027 dengan mengambil kira kesan mandat B50 Indonesia,” katanya.

Menurutnya pada Mac 2026, purata harga MSM diniagakan pada harga premium berbanding minyak makan utama yang lain, masing-masing pada US$140 satu tan dan US$143 satu tan melebihi harga minyak kacang soya dan minyak biji sesawi.

Sementara itu, katanya purata harga MSM diniagakan pada diskaun US$6 satu tan berbanding harga minyak bunga matahari.

Selain itu, firma itu mengunjurkan stok minyak sawit susut satu peratus bulan ke bulan kepada 2.24 juta tan pada April 2026.

-- BERNAMA