PAAB Komited Siapkan Projek Bernilai RM2.4 Bilion, Pastikan Kontraktor Patuhi Keselamatan
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sedang giat melaksanakan projek menaik taraf infrastruktur air di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah hampir RM2.4 bilion demi kelestarian dan keselamatan bekalan air negara pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar menegaskan bahawa kontraktor dan konsultan perlu mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan tiada isu keselamatan dan kemalangan berlaku supaya projek berskala besar berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
PAAB komited menerapkan budaya sifar kemalangan bagi menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan terjamin, dengan meminimumkan risiko serta mencegah kecederaan di tempat kerja dan tapak projek.
Beliau berkata aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, kontraktor serta perunding sentiasa menjadi keutamaan PAAB dalam operasi, khususnya ketika melaksanakan pelbagai projek baharu melibatkan infrastruktur air dan kerja-kerja penggantian paip.
“PAAB telah melaksanakan satu set prosedur operasi standard (SOP) yang komprehensif, termasuk pelan tindakan kecemasan (ERP) dan langkah-langkah mengenal pasti bahaya selaras dengan garis panduan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
“Ini termasuk membangun dan menyemak sistem kerja selamat, menilai keberkesanan program, menganalisis pola insiden, serta memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022,” kata Zulkiflee dalam majlis Safety and Sustainability Day 2025 di sini hari ini.
“Langkah ini juga bertujuan melindungi semua pihak terlibat dan memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat di tapak projek,” katanya.
Beliau berkata terdapat dua projek utama yang sedang dilaksanakan pada masa ini, melibatkan penggantian paip uzur bagi mengurangkan kadar Air Bukan Hasil (NRW) yang berada pada tahap 34.3 peratus dan pembinaan loji rawatan air baharu.
“NRW juga bermaksud air terawat yang telah dihasilkan, untuk itu pentingnya projek penaiktarafan ini lebih-lebih lagi penggantian paip uzur bagi mengurangkan pembaziran air terawat berkenaan,” katanya.
Beliau menyasarkan kadar NRW dapat dikurangkan kepada 28 peratus menjelang 2030, berbanding 34.3 peratus pada masa kini bagi memastikan kemampanan bekalan air yang lebih terjamin pada masa hadapan.
Zulkiflee berkata penaiktarafan infrastruktur ini juga dijangka mengekalkan margin rizab air terawat negara sebanyak 15 peratus seperti yang digariskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dengan projek dijadualkan siap secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2027, melibatkan beberapa projek besar yang kini dalam perancangan.
“Kita pun banyak juga projek yang dalam perancangan, maknanya masih dalam peringkat reka bentuk yang belum dipanggil tender. Contohnya, kita ada satu projek yang boleh dikatakan besar, iaitu Langat 2 Fasa 2, membabitkan kos projek itu hampir RM4 bilion.
“Selain itu, kita juga sedang bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menggantikan kira-kira 1,600 kilometer paip uzur di seluruh Malaysia, dengan harapan sasaran pengurangan NRW kepada 28 peratus menjelang 2030 dapat dicapai," katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan projek yang dilaksanakan telah disesuaikan dengan konsep peningkatan ketahanan terhadap perubahan iklim bagi memastikan kemampanan jangka panjang dalam reka bentuk infrastrukturnya.
“Sebagai contoh, loji rawatan air memerlukan kos operasi yang tinggi untuk dikendalikan oleh operator, dan kos utama yang paling besar adalah penggunaan tenaga elektrik, iaitu sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan kos operasi.
"Oleh itu, apa yang sedang kami lakukan sekarang adalah memastikan kebanyakan loji baharu menggunakan motor atau peralatan yang lebih cekap tenaga, seperti menaik taraf daripada International Efficiency 1 (IE1) kepada IE4, yang menawarkan kecekapan tenaga lebih tinggi," katanya Zulkiflee.
-- BERNAMA