BERITA TERKINI   Laporan semakan insiden letupan saluran gas di Putra Heights diserah kepada Kerajaan Persekutuan bulan lepas - MB Selangor | PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | 

Malaysia Dapat Melihat Kemajuan Pembinaan Loji Jana Kuasa Nuklear Pertama - MyPower

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia dapat melihat kemajuan ke arah pembinaan loji tenaga nuklear pertama dalam tempoh tujuh tahun akan datang apabila kerja asas sedang dijalankan bagi menilai kesiapsiagaan negara terhadap tenaga nuklear.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corp Asdirhyme Abdul Rasib berkata kerajaan menetapkan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan MyPower berusaha untuk mencapainya menerusi kajian terperinci sebelum pelaksanaan dan kajian kebolehlaksanaan.

"Sasaran yang ditetapkan kerajaan, insha-Allah, dalam tempoh enam atau tujuh tahun akan datang, kita boleh mencapai sesuatu. Ia merupakan sesuatu yang sedang kami lakukan sekarang, sekurang-kurangnya pada peringkat pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar Sidang Kemuncak Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 di sini hari ini.

Tenaga nuklear secara rasmi kembali menjadi pilihan untuk Malaysia dengan kerajaan menyasarkan untuk menjadikannya sebahagian daripada campuran penjanaan tenaga negara menjelang 2031.

Program pembangunan tenaga nuklear akan dilaksanakan dengan MyPower mengawasi tadbir urusnya selaras dengan peruntukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kata kerajaan dalam RMK13 yang dibentangkan pada Julai.

Asdirhyme berkata MyPower diperuntukkan kira-kira RM28 juta untuk kajian yang merangkumi rangka kerja undang-undang, pemodelan kewangan, teknologi dan pembangunan modal insan.

Agensi itu juga menyasarkan untuk menyelesaikan penilaian Kajian Infrastruktur Nuklear Bersepadu (INIR) oleh IAEA pada 2027.

-- BERNAMA