Industri Takaful Terajui Pupuk Literasi Kewangan Dalam Kalangan Belia
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sun Life Malaysia Takaful Bhd (SLMT) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah bersama-sama melancarkan ‘Program Inspirasi Pendidikan Kewangan Belia Negara (Sesi 2025/2026)’ sebagai langkah untuk membentuk generasi bertanggungjawab dan berdaya tahan dari segi kewangan.
Bertemakan “Belia Hari Ini, Pemimpin Masa Depan” (Today’s Youth, Tomorrow’s Leaders), inisiatif itu menekankan peranan industri yang semakin meningkat dalam memajukan celik kewangan patuh Shariah dan mempromosikan kepentingan perlindungan kewangan menerusi takaful dalam kalangan penuntut universiti.
“Inisiatif utama ini bertujuan untuk meletakkan industri takaful dengan SLMT di barisan hadapan, sebagai penggerak dalam memupuk keupayaan dan disiplin kewangan belia melalui pendidikan pengurusan kewangan patuh Shariah,” kata MTA dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SLMT Azam Yusof berkata inisiatif untuk memperkasakan penuntut universiti membuat keputusan kewangan terbaik pada usia muda, berpandukan prinsip Islam dan semangat takaful.
Semangat takaful adalah istilah merujuk kepada nilai-nilai teras dan prinsip-prinsip Islam yang menjadi asas kepada sistem Takaful yang merupakan alternatif kepada insurans konvensional.
"Kami melihat celik kewangan sebagai kemahiran hidup yang penting. Menerusi inisiatif ini, ia mencerminkan tujuan kami untuk membantu orang ramai mencapai perlindungan kewangan sepanjang hayat dan menjalani kehidupan yang lebih sihat," katanya dalam kenyataan yang sama.
MTA berkata inisiatif itu menunjukkan kepimpinan industri dalam memacu keterangkuman dan kesedaran kewangan, seiring dengan aspirasi negara untuk mengukuhkan kesejahteraan kewangan dan daya tahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Usaha ini selaras dengan Pelan Transformasi Hijrah27 terutamanya di bawah kesedaran yang bermakna dan teras bakat berkaliber tinggi, menekankan tanggungjawab industri dalam membentuk masyarakat yang peka dari segi kewangan dan dipacu nilai.
“Ia memperkukuh peranan sektor takaful yang lebih luas dalam memajukan celik kewangan dan pemerkasaan komuniti di bawah rangka kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.
Program itu dilancarkan secara rasmi hari ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menandakan yang pertama dalam siri bengkel pendidikan akan mencapai lima universiti di seluruh negara termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Islam Selangor (UIS).
-- BERNAMA