Konflik Iran-Israel Beri Risiko Ekonomi Terhad Terhadap Malaysia - CIMB Securities
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Konflik Iran-Israel memberikan risiko ekonomi langsung yang terhad kepada Malaysia berikutan pendedahan perdagangan negara itu yang minimum terhadap rantau ini dan situasi sebelum ini menunjukkan kenaikan harga minyak berkaitan konflik biasanya bersifat sementara, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Katanya risiko luar jangka utama ialah peningkatan aktiviti ketenteraan yang berterusan, terutamanya jika ia mengganggu Selat Hormuz atau melibatkan kuasa besar global seperti Amerika Syarikat (AS) atau kuasa serantau lain.
“Senario sedemikian boleh menyebabkan kejutan terhadap pasaran tenaga global, dengan kesan limpahan yang lebih meluas. Jika situasi ini berlaku, ia akan memberi tekanan ke atas unjuran pertumbuhan semasa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 sebanyak 4.0 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CIMB Securities, pendedahan perdagangan langsung Malaysia dengan Timur Tengah kekal kecil.
Katanya hanya 2.2 peratus daripada jumlah perdagangan negara adalah dengan ekonomi Timur Tengah manakala perdagangan dengan Iran hanya menyumbang 0.09 peratus.
“Dalam jangka pendek, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada terma perdagangan yang lebih baik jika harga minyak dan gas asli cecair (LNG) kekal tinggi berdasarkan peranan negara sebagai pengeksport bersih komoditi ini,” katanya.
Katanya sebelum ini, harga minyak dipengaruhi oleh konflik di Timur Tengah, terutamanya yang melibatkan Iran dan episod terkini menunjukkan impak ini cenderung bersifat sementara.
“Iran menghasilkan kira-kira empat juta tong minyak sehari (bph) iaitu sebanyak 4.6 peratus daripada pengeluaran global, menjadikannya berada di belakang pengeluar utama seperti Arab Saudi, Rusia dan AS.
“Oleh itu, gangguan berkaitan Iran biasanya menyebabkan turun naik (harga minyak) tetapi memberi impak yang sederhana dan bersifat sementara kepada dinamik bekalan secara keseluruhan,” katanya.
Selain itu, katanya risiko yang lebih serius — walaupun masih berkemungkinan rendah — adalah daripada potensi penutupan atau gangguan di Selat Hormuz, lokasi maritim yang penting untuk aliran tenaga global.
“Selat itu mengendalikan kira-kira 20 peratus daripada minyak mentah dunia dan 30 peratus penghantaran LNG global. Walaupun Iran berulang kali menggunakan ancaman untuk menutup Selat Hormuz sebagai mekanisme rundingan geopolitik, kredibiliti ancaman tersebut kekal rendah.
“Langkah itu boleh merugikan diri sendiri dari segi ekonomi dan secara strategik — pihak serantau dan global telah bersedia untuk mendepani sebarang cubaan sedemikian,” katanya.
-- BERNAMA