BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Malaysia Kekal Terbuka Kepada Pelaburan Asing Bawa Ketersambungan Global - Loke

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan asing terutamanya daripada perusahaan yang membawa ketersambungan global, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pelaburan asing yang menyumbang secara bermakna kepada ekosistem ekonomi Malaysia secara meluas dan mengukuhkan penciptaan nilai jangka panjang terus dialu-alukan.

“Tugas kita bukan sekadar mengejar pertumbuhan untuk kepentingan pertumbuhan itu sendiri. Ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan industri serta komitmen bersama terhadap nilai jangka panjang dan bukannya keuntungan jangka pendek,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahunan Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM) 2025 di sini malam ini.

Loke berkata persekitaran pelaburan yang sihat adalah persekitaran di mana pertumbuhan mengukuhkan ekosistem yang lebih luas, membolehkan perniagaan bersaing secara bertanggungjawab, berinovasi dengan yakin dan berkembang bersama rakan kongsi tempatan.

Selain itu, beliau berkata bahawa daya tahan telah menjadi keutamaan yang menentukan dalam persekitaran global tidak menentu hari ini.

“Malaysia sedang mengukuhkan asas ekonominya dengan meningkatkan kecekapan, mengurus risiko secara berhemat dan memastikan pembangunan kekal berasaskan kemampanan dan tadbir urus yang baik,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungan ekonomi Malaysia-China, beliau berkata hubungan itu telah dibentuk selama beberapa dekad oleh rasa hormat bersama, kerjasama praktikal dan konsistensi dan bukannya slogan.

Mengenai prestasi perdagangan, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dengan perdagangan dua hala terus menunjukkan momentum pertumbuhan kukuh, kata Loke.

“Seiring dengan perkembangan hubungan kita, peranan komuniti perniagaan seperti CECCM menjadi lebih penting.

“CECCM telah berperanan sebagai jambatan, menyatukan perusahaan, memudahkan dialog dan membantu pelabur lebih memahami persekitaran operasi, landskap kawal selia dan keutamaan pembangunan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Loke berkata dialog terbuka dan berterusan antara kerajaan dan industri adalah penting kerana ia membantu menjangka cabaran, menyelesaikan isu secara konstruktif dan memelihara kesinambungan ekonomi semasa gangguan.

-- BERNAMA