Petronas Sokong Rasionalisasi Subsidi Bahan Api Demi Agenda Peralihan Tenaga
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyambut baik langkah rasionalisasi subsidi petrol sambil menegaskan bahawa subsidi itu adalah tidak mampan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata subsidi petrol menghalang pencapaian matlamat peralihan tenaga negara kerana ia mengganggu keseimbangan penawaran dan permintaan melalui pengagihan sumber yang tidak efisien.
“Mekanisme seperti penemuan harga sebenar, kecekapan tenaga dan reformasi subsidi kini diberi keutamaan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi menyeluruh kerajaan.
“Sentimen ini turut dikongsi dalam forum hari ini, dengan wakil dari pelbagai rantau bersetuju bahawa pemberian subsidi adalah tidak mampan dan tidak menyokong matlamat peralihan tenaga,” katanya dalam sidang media di persidangan Energy Asia 2025 di sini hari ini.
Sidang media itu diadakan bersempena dengan Persidangan Energy Asia 2025 selama tiga hari.
Menyentuh mengenai cukai karbon yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan, Tengku Muhammad Taufik berkata rantau ini kini jelas bergerak ke arah penetapan harga bagi kesan luaran
“Perbincangan masih berjalan tentang bagaimana untuk menetapkan harga karbon dan cukai karbon secara lebih seragam.
“Satu perkara menarik yang dibangkitkan ialah, apabila kos kesan luaran ini menjadi lebih selaras dan telus, maka perniagaan akan lebih bersedia untuk mengintegrasikan harga dan cukai karbon dalam penilaian kebolehlaksanaan projek, sekali gus membolehkan perancangan ekonomi yang lebih teliti dan berinformasi,” katanya.
Persidangan Energy Asia 2025 yang bertemakan “Delivering Asia’s Energy Transition” berlangsung dari 16 hingga 18 Jun, menjadi platform penting untuk Malaysia dan rantau ini menilai kemajuan terhadap matlamat peralihan tenaga serta memperkukuh komitmen negara ke arah mencapai sasaran sifar bersih.
Persidangan ini diadakan pada masa yang penting, dalam usaha kepelbagaian ekonomi dan pembangunan mampan, ketika negara-negara di rantau ini beralih daripada pergantungan terhadap minyak tradisional kepada tenaga boleh baharu serta mengadaptasi teknologi baharu seperti hidrogen dan pemerangkapan karbon.
-- BERNAMA