BERITA TERKINI   Intitusi pondok dan tahfiz perlu lakukan penyesuaian termasuk kuasai teknologi digital dan AI - PM Anwar | Kerajaan lulus RM34.81 juta tahun ini untuk laksana 137 projek pembaikan kecil pondok dan tahfiz di seluruh negara - PM Anwar | 

Kerangka Produk Asas Insurans/Takaful Perubatan, Kesihatan Dimuktamadkan Akhir 2025

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kerangka produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini manakala pelancarannya dijangka pada 2027, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat menjelaskan langkah itu bertujuan membantu menangani inflasi kos perubatan serta perlindungan perubatan.

“Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan dan industri memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan,” tambah BNM dalam kenyataan pada Sabtu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak RM60 juta dana bersama kerajaan dan industri disediakan bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk semua dan melaksanakan “Diagnosis Related Group” (DRG).

Dana itu merupakan antara ikhtiar untuk menangani isu kenaikan inflasi perubatan, kata beliau.

Beliau juga berkata kerajaan mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 yang diberikan ke atas bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa untuk diri dan pasangan, diperluas bagi meliputi anak.

Insiatif itu bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan iTEKAD dengan dana padanan RM35 juta akan diperluas bagi menyediakan geran padanan kepada penerima yang ingin meningkatkan kemahiran mereka untuk pekerjaan, sekali gus memperoleh peluang kerjaya dengan pendapatan lebih stabil.

Oleh yang demikian BNM memaklumkan iTEKAD kini diperluas bukan sahaja untuk menggalakkan keusahawanan dan meningkatkan perlindungan malah juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan mudah terjejas.

BNM menjelaskan peruntukan itu bertujuan memperkukuh daya tahan dan keupayaan kewangan golongan sasaran, supaya mereka dapat meneruskan dan meningkatkan mata pencarian mereka.

“Dana itu akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk sumbangan tanggungjawab sosial korporat), zakat serta wakaf tunai. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian,” tambah bank pusat.

Pada Jumaat, Anwar membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, daripada jumlah itu peruntukan kerajaan adalah RM419.2 bilion.

Sebanyak RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan (DE).

Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA