BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Meningkat Minggu Depan

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat minggu depan, disokong oleh program biodiesel B50 Indonesia, kata peniaga minyak sawit David Ng.

“Kami menjangkakan harga MSM akan diniagakan antara RM4,500 dan RM4,650 satu tan metrik minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd berkata rancangan Indonesia untuk melancarkan mandat biodiesel B50 menjelang pertengahan 2026 serta jangkaan pengeluaran lebih rendah sdari November 2025 hingga Februari 2026 selepas mencapai paras kemuncak pada Oktober, ia mungkin akan menyebabkan harga MSM kekal tinggi.

“Harga MSM dijangka diniagakan antara RM4,000 satu tan metrik kepada 4,500 satu tan metrik sehingga akhir 2025.

“Kami telah menaikkan unjuran harga MSM kami sebanyak RM130 satu tan kepada RM4,330 satu tan untuk 2025 dan sebanyak RM100 satu tan kepada RM4,200 satu tan untuk 2026,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan.

Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan melaksanakan program biodiesel B50 pada separuh kedua 2026, dilihat sebagai langkah untuk menghentikan pengimportan diesel untuk beberapa tahun akan datang.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak Oktober 2025 meningkat RM68 kepada RM4,468 satu tan, November 2025 naik RM78 kepada RM4,496 setan dan Disember 2025 menambah RM102 kepada RM4,544 satu tan.

Dalam pada itu, kontrak Januari 2026 dan Februari 2026 melonjak RM108 masing-masing kepada RM4,565 setan dan RM4,556 satu tan, manakala Mac 2026 menokok RM114 kepada RM4,530 setan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 470,418 lot daripada 373,167 lot minggu lepas, manakala minat terbuka melonjak kepada 282,064 kontrak berbanding 273,808 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan menokok RM80 kepada RM4,500 satu tan.

-- BERNAMA