BERITA TERKINI   PM Anwar akan mengadakan lawatan rasmi ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya dari 18-24 Nov ini - PMO | GRS menetapkan sasaran kutipan hasil negeri mencecah RM10 bilion menjelang 2030 - Armizan | Hasil Sabah melonjak kepada RM6.87 bilion pada tahun 2024 berbanding RM3.59 bilion pada 2020 di bawah pentadbiran kerajaan GRS - Armizan | PRN : GRS berikrar tubuh Sabah Sovereign Wealth Fund tahun depan jika diberi mandat - Armizan | Manifesto GRS dipacu empat rukun utama dan 16 strategi, tawar agenda pembangunan menyeluruh - Hajiji | 

Niaga Hadapan Emas Kekal Meningkat Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal positif minggu depan, didorong oleh ketidaktentuan ekonomi di Amerika Syarikat, yang mendorong peningkatan permintaan terhadap logam yang dianggap aset selamat. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perak, platinum dan paladium juga meningkat, menunjukkan bahawa peniaga serta pelabur sedang mencari perlindungan dalam logam berharga.

“Berdasarkan itu, harga emas dijangka kekal sekitar US$3,950 hingga US$4,000 setiap auns troy minggu depan,” katanya kepada Bernama.

“Bagi asas mingguan, kontrak semerta bulan Oktober 2025 mengukuh kepada US$3,998.20 setiap auns troy daripada US$3,872.8 minggu lepas, kontrak November 2025 meningkat kepada US$4,014.40 setiap auns troy daripada US$3,891.0, dan kontrak Disember 2025 menokok kepada US$4,031.40 setiap auns troy daripada US$3,905.90 sebelumnya. 

Kontrak Januari 2026 lebih tinggi pada US$4,048.40 setiap auns troy daripada US$3,922.90, manakala kontrak Februari 2026, April 2026 dan Jun 2026 semuanya berada lebih tinggi pada US$4,065.30 setiap auns troy berbanding dengan US$3,939.80 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 2,797 lot daripada 1,328 minggu lepas, manakala kepentingan terbuka mengukuh kepada 995 kontrak daripada 259 sebelumnya. 

Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 9 Okt, 2025, emas fizikal berada pada US$4,019.25 setiap auns troy. 

-- BERNAMA