BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Malaysia Bawa Suara ASEAN Dalam Mesyuarat OECD Di Paris

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- ASEAN menyatakan sokongan penuh kepada semua usaha untuk memperkukuh pasaran terbuka dan mendukung sistem perdagangan multilateral berdasarkan peraturan sebagai asas untuk pertumbuhan global yang mampan dan inklusif.

Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Duta Besar Syahril Syazli Ghazali berkata tema kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bagi 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menunjukkan keutamaan Malaysia dalam menggalakkan perdagangan yang adil, mampan dan inklusif.

“Dalam menangani masalah dan ketidaktentuan global yang muncul, Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) ​​telah ditubuhkan untuk memantau, menilai dan mengesyorkan tindak balas dasar untuk mengukuhkan ASEAN -- sebagai sebuah pasaran tunggal,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis.

Beliau menyuarakan semua perkara itu ketika mewakili Malaysia pada Mesyuarat Majlis Menteri (MCM) Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang diadakan dari 3 hingga 4 Jun lepas, di Paris, Perancis.

Dalam intervensi/kenyataan Malaysia pada mesyuarat itu, Syahril Syazli berkata Malaysia juga menerajui pelbagai inisiatif untuk membina ASEAN yang berdaya tahan digital, khususnya, memacu rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), ke arah pemuktamadan menjelang akhir tahun ini.

“DEFA ialah asas dalam memudah cara dan menggalakkan keterangkuman ASEAN, serta memastikan rantau itu akan terus menikmati manfaat perdagangan digital,” katanya.

Beliau juga menyuarakan mengenai langkah memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta wanita.

“PMKS dan pemerkasaan ekonomi wanita adalah elemen penting dalam memastikan daya tahan ekonomi dan peranannya untuk pembangunan ekonomi.

“Malaysia memupuk kemahiran digital untuk usahawan wanita melalui program nasional seperti ‘EmpowerHER Digital’ dan Program Pembangunan Pengeksport Wanita, bertujuan menyepadukan lebih banyak perniagaan yang diterajui wanita dengan rantaian nilai antarabangsa,” katanya.

Beliau juga berkata inisiatif utama untuk menubuhkan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita pertama ASEAN di Kuala Lumpur yang diumumkan bulan lepas akan memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan ekonomi serta merangsang pertumbuhan inklusif di seluruh Asia Tenggara.

-- BERNAMA