BERITA TERKINI   Aspek keselamatan perkhidmatan KLIA Aerotrain yang akan beroperasi berada di tahap tinggi - Loke | Perkhidmatan KLIA Aerotrain akan mula beroperasi pada 1 Julai ini bermula 10 pagi - Loke | 

Dewan Perniagaan Malaysia, Kemboja Meterai MoU Tingkat Kerjasama

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 7 Mei  (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Bersekutu Malaysia (ACCCIM) dan Dewan Perniagaan Kemboja (CCC) melancarkan inisiatif bersama dalam usaha meningkatkan kerjasama ekonomi serta perdagangan dua hala.

Dalam kenyataannya hari ini,  CCC berkata kedua-dua dewan telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Selasa bagi memuktamadkan kerjasama itu secara rasmi.

Presiden ACCCIM Datuk Ng Yih Pyng berkata delegasi ACCIM bertujuan menjalin kerjasama dengan rakan di Kemboja bagi meneroka peluang baharu ekonomi di negara berkenaan.

“Objektif utama kunjungan itu adalah untuk meninjau potensi kerjasama selain menggalakkan usaha mampan di ASEAN,” kata Ng.

MoU itu antara lainnya, menetapkan rangka kerja dalam mempromosikan hubungan ekonomi selain menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Perdagangan dua hala Malaysia dan Kemboja mencecah kira-kira RM3.7 bilion (US$865 juta) pada 2024 dengan eksport utama Malaysia termasuk produk petroleum, bahan kimia, tekstil, pakaian, kasut, logam dan produk mineral bukan logam.

Kelebihan utama Kemboja pula dari segi tenaga kerja muda dan bertenaga, iklim pelaburan yang produktif serta dasar kerajaan yang menyokong.

“Wujud hubungan ekonomi akrab antara Kemboja dan Malaysia, permintaan perdagangan yang kukuh serta pelaburan Malaysia dalam sektor utama," kata Naib Presiden CCC Sok Piseth.

--  BERNAMA