BERITA TERKINI   Hoki Piala Negara-Negara FIH 2025: New Zealand pertahan kejuaraan, tewaskan Pakistan 6-2 | 

Moody’s: Malaysia Mungkin Peroleh Bahagian Pasaran Ekoran Tarif AS Jejas Perdagangan APAC

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif secara meluas akan memberi kesan negatif terhadap kredit di rantau Asia Pasifik, tetapi negara yang dikenakan tarif rendah akan mendapat kelebihan, menurut Moody's Ratings.

Dalam laporan terbaharunya, negara-negara seperti Malaysia, India dan Filipina dengan tarif yang rendah akan mendapat bahagian pasaran melalui triangulasi (penyegitigaan) perdagangan untuk memenuhi permintaan pasaran AS.

Agensi penarafan antarabangsa itu berkata tarif baharu berkenaan akan menghalang strategi 'China+1', dan pengalihan kepelbagaian rantaian bekalan dari China tidak mungkin akan berkembang dengan pesat pada tahap ini.

Bagaimanapun, ekonomi APAC mungkin masih mendapat insentif untuk memperdalam lagi hubungan perdagangan dan pelaburan intra-serantau.

"Negara-negara dengan tarif yang rendah di rantau ini mungkin berpeluang mendapat bahagian pasaran secara marginal melalui triangulasi perdagangan untuk memenuhi pasaran AS dalam jangka masa terdekat.

"Sebagai contoh, Malaysia (A3 stabil), India (Baa3 stabil) dan Filipina (Baa2 stabil), yang tertakluk kepada kadar tarif dalam julat pertengahan (10-30 peratus), mungkin akan mendapat manfaat daripada beberapa aktiviti pengalihan perdagangan," katanya.

Moody's Ratings berkata ekonomi dengan pasaran domestik yang besar seperti India, mungkin akan mendapat manfaat apabila syarikat berusaha untuk mengakses pangkalan pengguna yang besar sambil mengekalkan kos operasi yang rendah dengan memindahkan pengeluaran ke negara seperti itu, walaupun perkembangan sedemikian dijangka berlaku dalam beberapa tahun akan datang.

Ia berkata bahawa ekonomi yang tertakluk kepada tarif yang rendah, iaitu garis dasar 10 peratus, seperti New Zealand (Aaa stabil), Australia (Aaa stabil), dan Singapura (Aaa stabil), tidak akan terkecuali.

"Walaupun ekonomi-ekonomi negara berkenaan menghadapi kejutan langsung yang lebih kecil akibat daripada tarif AS itu, ekonomi-ekonomi ini, terutamanya Singapura, mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap kelembapan perdagangan global.

"Selain itu, bagi Australia, New Zealand dan Indonesia, berpotensi mengalami kelembapan dalam permintaan akhir China dengan China sebagai rakan dagangan terbesar mereka yang akan menyebabkan permintaan lebih rendah untuk eksport komoditi," katanya.

Moody's Ratings berkata pasaran seperti Sri Lanka, Pakistan (Caa2 positif) dan Bangladesh, yang tidak mempunyai keupayaan untuk mengimport dengan banyak dari AS dan mempunyai imbangan akaun semasa yang rapuh, mungkin boleh menyebabkan kedudukan luaran mereka merosot dengan lebih meluas.

Ia menambah bahawa ekonomi-ekonomi itu mungkin akan menghadapi tekanan selanjutnya dalam tinjauan pertumbuhan ekonomi mereka.

-- BERNAMA