BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Dewan Negara Lulus RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) 2025 bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan berjumlah RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan.

RUU yang dibentangkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 12 Ahli Senator.

RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM20,191,299,500 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan perkhidmatan untuk 2024.

Perbelanjaan tambahan tersebut melibatkan kegunaan peruntukan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan iaitu sebanyak RM12,624,721,830, Kumpulan Wang Terkanun (RM3,151,419,300), Kementerian Pendidikan (RM1,763,672,170), Jabatan Perkhidmatan Awam (RM1,148,146,080) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM1,077,146,050).

Peruntukan itu juga bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (RM417,999,870) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (RM8,194,200).

Terdahulu, ketika penggulungan perbahasan RUU itu, Amir Hamzah berkata defisit fiskal telah menurun daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, mencerminkan langkah konsolidasi fiskal yang berterusan.

Pada 2024, beliau berkata penurunan defisit fiskal adalah lebih baik daripada sasaran Belanjawan 2024, dengan defisit dicatatkan pada 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah berbanding unjuran awal sebanyak 4.3 peratus.

“Ini turut selari dengan pengurusan hutang yang lebih berhemat, di mana pertambahan hutang baharu telah berkurang daripada RM92.6 bilion pada 2023 kepada RM77 bilion pada 2024, menunjukkan kerajaan kekal komited dalam menyeimbangkan keperluan pembangunan dengan kebertanggungjawaban fiskal.

“Kerajaan terus komited untuk mengurangkan defisit dengan unjuran 3.8 peratus pada tahun 2025 dan seterusnya ke arah mencapai komitmen Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) serendah 3.0 peratus KDNK selewat-lewatnya menjelang hujung 2028,” katanya.

Bagi penyasaran subsidi RON95, Amir Hamzah berkata kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama untuk menentukan status kewarganegaraan, manakala kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian.

“Kerajaan juga sedang meneliti pendekatan yang akan digunakan bagi menentukan julat pendapatan isi rumah dalam memastikan majoriti 85 peratus rakyat tidak akan terjejas apabila penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan kelak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pinjaman yang diberikan oleh kerajaan kepada Sapura Energy Bhd boleh diubah menjadi ekuiti, tertakluk kepada prestasi semasa Sapura Energy.

“Sekiranya (perniagaan) Sapura Energy telah berkembang dengan baik dan ada nilai untuk kita tukar (pinjaman kepada ekuiti), kita boleh tukar untuk mendapat pulangan yang lebih baik. Pinjaman ini juga ada jaminan, lebih daripada RM3 bilion aset yang dicagarkan kepada pinjaman RM1.1 bilion ini.

“Kita mahu syarikat-syarikat di dalam sektor minyak dan gas ini terus hidup dan membantu negara untuk aktif di dalam sektor ini. Kita juga berharap di masa hadapan Sapura Energy akan menjadi lebih baik dan bersaing semula di luar negara,” katanya. 

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA