BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Terminal 2 KLIA Bakal Ditempatkan Kemudahan Pengecasan EV Ultra Pantas Pertama Di Malaysia

SEPANG, 10 Jun (Bernama) -- Stesen pengecasan ultra pantas kenderaan elektrik (EV) pertama di lapangan terbang di Malaysia bakal dibangunkan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur mobiliti hijau negara.

Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, Powerlink Asia Sdn Bhd dan GM Auto EV Sdn Bhd ketika mengumumkan kerjasama berkenaan hari ini memaklumkan Huawei akan bertindak sebagai penyedia teknologi, Powerlink Asia sebagai pemilik stesen manakala GM Auto EV sebagai pengendali kemudahan itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Lau Weng San dalam ucapannya pada majlis pecah tanah projek tersebut berkata inisiatif itu menandakan permulaan kepada satu siri pembangunan kemudahan pengecasan EV di Selangor.

“Sekiranya projek ini terbukti mampan di Malaysia, di Selangor dan di Asia Tenggara, saya amat yakin bahawa model ini bukan sahaja dapat diperluas ke seluruh rantau Asia Tenggara, malah ke pelbagai bahagian dunia dalam masa terdekat,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden Hong Kong Web3.0 Standardisation Association, Dr Li Ming, Pengasas Bersama Powerlink Asia, Ethan Chen serta Pengarah Operasi Terminal, Jimmy Neo.

Sementara itu, Chen berkata projek tersebut melibatkan pelaburan kira-kira HK$5 juta (RM2.7 juta) yang modal sepenuhnya dibiayai dari Hong Kong.

Beliau berkata pelaburan tersebut mencerminkan komitmen bersama di antara Hong Kong dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif perubahan hijau.

“Kami mahu Hong Kong dan Malaysia bekerjasama dalam membangunkan perubahan hijau,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah tersebut.

Stesen pengecasan itu yang dijadualkan dibuka pada akhir Julai 2026 terletak di kawasan parkir Terminal 2 KLIA yang akan dilengkapi dengan 12 titik pengecasan menggunakan pengecas DC ultra pantas penyejukan cecair Huawei FusionCharge serta sistem penyimpanan tenaga dan akan dibuka kepada orang awam.

-- BERNAMA