BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Malaysia, Jepun Sepakat Perkasa Kerjasama Keselamatan Tenaga, Nuklear Dan Mineral Kritikal

Daripada Mohd Iswandi Kasan Anuar

TOKYO, 10 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Jepun hari ini bersetuju untuk memperkukuh kerjasama keselamatan tenaga dan tenaga nuklear awam ketika kedua-dua negara berusaha meningkatkan daya tahan menghadapi gangguan bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik yang semakin memuncak.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Jepun Takaichi Sanae, kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka susulan ketidakstabilan bekalan tenaga global serta risiko berkaitan ketegangan di Asia Barat.

“Anwar menyatakan komitmen penuh Malaysia untuk menggalakkan aliran perdagangan yang terbuka dan stabil ke Jepun, termasuk bagi bekalan tenaga penting seperti gas asli cecair (LNG) serta produk petroleum dan kimia seperti nafta, urea serta sarung tangan perubatan,” menurut kenyataan bersama itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berada di Jepun bagi lawatan rasmi selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneroka cara bagi membolehkan Malaysia dapat membantu memenuhi keperluan tenaga Jepun dan pada masa yang sama mengambil kira keutamaan domestik serta kapasiti lebihan yang tersedia.

Anwar dan Takaichi juga sepakat untuk memperluas kerjasama berkenaan dengan penggunaan tenaga nuklear secara aman, apabila Malaysia membuat persediaan untuk memperkenalkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi tenaga jangka masa panjang.

“Takaichi mengalu-alukan perkongsian perkembangan terkini mengenai persediaan Malaysia untuk memperkenalkan tenaga nuklear --  termasuk pilihan teknologi reaktor, pemilihan tapak serta perjanjian perniagaan dan institusi -- sebagai asas dalam merangka pelan sokongan Jepun,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mempererat kerjasama dalam keselamatan ekonomi dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan mineral kritikal serta unsur nadir bumi.

Anwar dan Takaichi menyuarakan kebimbangan mengenai pemaksaan ekonomi, amalan bukan pasaran serta sekatan eksport secara sewenang-wenang yang boleh mengganggu rantaian bekalan global.

Mereka juga mengesahkan semula komitmen masing-masing untuk menggalakkan rantaian bekalan yang selamat, pelbagai dan boleh dipercayai dalam kalangan rakan yang diyakini.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin juga bersetuju meningkatkan kerjasama mengenai mineral kritikal menerusi kolaborasi berterusan melibatkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Pertubuhan Logam dan Keselamatan Tenaga Jepun serta Japan Bank for International Cooperation.

Pada masa sama, kedua-dua negara akan meneroka kerjasama dengan negara lain seperti Australia dan Perancis.

-- BERNAMA