BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Dialog Dapat Kelulusan Pelaburan US$235 Juta Untuk PSC Kluster Baram Junior

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Dialog Group Bhd mengumumkan pelan pembangunan dan pengabaian medan (FDAP) untuk Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Medan Kecil Kluster Baram Junior (BJC SFA PSC) telah mencapai keputusan pelaburan akhir bernilai US$235 juta (US$1=RM4.50).

BJC SFA PSC telah ditandatangani antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Dialog Resources Sdn Bhd dan Petroleum Sarawak Exploration and Production (PSEP) pada 17 Jan, 2023. Pelan itu diluluskan oleh Petronas pada 8 Jan, 2025.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Dialog Group berkata penyertaan dalam BJC SFA PSC adalah selaras dengan strateginya untuk terus mengembangkan dan mempelbagaikan perniagaan merentasi huluan, pertengahan, hiliran dan sektor tenaga boleh baharu, sekali gus meningkatkan peluang sinergi dalam kumpulan itu.

Kontrak selama 14 tahun itu disertakan dengan fasa prapembangunan dua tahun (termasuk kajian kebolehlaksanaan) yang membolehkan Dialog Resources dan PSEP memuktamadkan pelan pembangunan medan dan beralih ke fasa pembangunan selama dua tahun, dengan pengeluaran komersial pertama dijangka pada akhir fasa itu.

Fasa pengeluaran akan diteruskan untuk baki 10 tahun atau sehingga tamat kontrak, yang mana lebih terdahulu.

“Dialog akan kekal fokus dan teguh dalam usaha mempelbagaikan sektor tenaga untuk meletakkan kumpulan secara strategik bagi mengharungi kitaran ekonomi dan harga minyak yang berbeza, yang selaras dengan strategi kumpulan menjana pendapatan berulang jangka panjang,” katanya.

Dialog Group menjangka untuk membiayai BJC SFA PSC dengan dana yang dijana secara dalaman dan/atau melalui pinjaman luar.

BJC SFA PSC dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan, aset bersih dan penggearan Dialog Group untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025, tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan itu, tambahnya.

-- BERNAMA