BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Guna Teknologi AI, TD Furniture Sasar Tingkat Pengeluaran 30 Peratus Tahun Depan

Daripada Syamsiah Sahat

GUANGZHOU, 26 Nov (Bernama) -- TD Furniture Group (TD Furniture) antara pengeluar sofa dan kabinet terkenal di Malaysia, menyasarkan peningkatan pengeluaran sehingga 30 peratus, menyumbang kira-kira RM7.0 juta kepada keuntungan syarikat itu tahun depan.

Pengarah Eksekutif TD Furniture Wong Kok Hoon berkata sasaran itu susulan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), ia dijangka digunakan sepenuhnya tahun depan.

"Selain itu, kami akan meluaskan segmen daripada jualan dari bilik pameran ke perkhidmatan pengubahsuaian rumah dengan lebih meluasa, justeru sasaran diyakini akan dicapai," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menyertai lawatan rombongan Persatuan Kelestarian Perniagaan Kecil dan Sederhana Kinta (KPKS) Perak yang melakukan lawatan ke China 23 sehingga 28 November.

Lawatan tersebut bertujuan mencari peluang kerjasama dengan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara berkenaan. 

Sementara itu, Wong yang juga Timbalan Setiausaha Agung Majlis Perabot Malaysia berkata teknologi smart factory dengan kaedah IR4. 0 dijangka memberi nilai tambah kepada jenama TD Furniture termasuk layanan kepada pelanggan. 

"Kami gunakan kaedah AI dalam memudahkan pelanggan membuat tempahan, merekabentuk sehinggalah ke proses pengeluaran yang membolehkan kita meningkatkan pengeluaran, pada masa sama, fokus pada pasaran tempatan juga mensasarkan pengurangan penggunaan tenaga manusia sekali gus mengurangkan pengambilan pekerja asing," katanya. 

Mengakui pertumbuhan perlahan syarikat sejak pandemik COVID-19 yang menyebabkan segmen eksport syarikat terjejas dan persaingan global, transformasi teknologi adalah satu kemestian bagi memastikan syarikat terus berdaya maju.

Syarikat itu mempunyai 10 cawangan bilik pameran di Pulau Pinang dan Perak, mengeksport sebanyak lima peratus ke Singapura dan Amerika Syarikat.

TD Furniture ditubuhkan pada 2002, merupakan pengeluar perabot terbesar di Perak, ia menghasilkan rekabentuk yang inovatif. 

-- BERNAMA